KLSACH: Kenapa Kerajaan Tergesa-gesa Lulus Pajakan 99 Tahun

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Isu pemberian premium nominal bagi lanjutan tempoh pajakan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSACH) perlu dibahaskan segera kerana keputusan itu menimbulkan persoalan besar mengenai kepentingan awam, dasar pemilikan tanah serta hala tuju penyusunan semula sosioekonomi bandar.

Ketua UMNO Bahagian Kepong, Datuk TPr Abdul Razak Abdul Rahman menegaskan, tindakan kerajaan memberikan lanjutan pajakan sehingga 99 tahun perlu diperjelaskan, terutama apabila tanah berkenaan sepatutnya kembali kepada kerajaan selepas hampir 100 tahun tempoh pajakannya.

Menurut beliau, kerajaan seolah-olah melepaskan peluang penting untuk mengambil semula tanah berkenaan dan menilai semula struktur pemilikan serta pembangunan sosioekonomi di kawasan bandar.

“Kenapa kerajaan tergopoh-gapah memberikan tempoh pajakan sehingga 99 tahun, sedangkan tapak tersebut sepatutnya diambil semula oleh kerajaan selepas hampir 100 tahun.

“Tanah yang diberikan oleh penjajah British kepada taikun Cina sebelum Merdeka sepatutnya menunggu untuk dipulangkan semula kepada kerajaan apabila tempoh pajakannya berakhir.

“Ini adalah peluang kerajaan yang terlepas (opportunity lost) untuk menyusun semula struktur sosioekonomi dan pemilikan tanah di dalam bandar,” katanya.

Mengulas lanjut Abdul Razak turut mempersoalkan pendirian Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang sebelum ini bersungguh-sungguh mencadangkan pewartaan Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan.

“Sekarang telah pecah rahsia kenapa Menteri KPKT Nga Kor Meng beria-ria dahulu nak mewartakan Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan kerana sedar tempoh pajakan kebanyakkan tanah ini akan lupus,” katanya lagi.

Beliau menegaskan, isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana ia menyentuh soal dasar tanah, ketelusan keputusan kerajaan dan kepentingan awam yang wajar diberikan keutamaan.

Terdahulu, kerajaan meluluskan pengurangan premium tanah KLSCAH daripada RM4.67 juta kepada RM1.000 serta tempoh pajakan 99 tahun yang mencetuskan ketidakadilan.

Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, menjelaskan kadar RM1,000 berkait penukaran status tanah kepada tanah institusi bagi bangunan warisan yang diwartakan, sekali gus melepaskan potensi pembangunan komersial seperti pusat beli-belah atau kondominium. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO