Ahmad Zahid Teliti Agenda Pembangunan Bagan Datuk, Keperluan Rakyat Diberi Perhatian
KUALA LUMPUR, 19 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Daerah Bagan Datuk bagi menyelaras perkembangan terkini serta meneliti semula pelaksanaan pelbagai perancangan pembangunan di daerah berkenaan.
Mesyuarat itu turut memberi tumpuan kepada aspek pembangunan setempat dan keperluan semasa masyarakat bagi memastikan setiap inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan dengan teratur serta memberi manfaat kepada penduduk.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, pelbagai perkara telah diperincikan bersama pihak berkaitan, khususnya bagi memastikan agenda pembangunan daerah terus bergerak seiring dengan keperluan rakyat.
“Banyak perkara yang sempat kami perincikan bersama, terutama berkaitan pembangunan dan keperluan semasa masyarakat di Bagan Datuk.
“Terima kasih kepada semua pihak yang terus membantu dan memberikan komitmen dalam memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan sebaiknya,” katanya.
Beliau menegaskan komitmen untuk terus memberikan perhatian terhadap pembangunan Bagan Datuk demi memastikan kesejahteraan dan kepentingan masyarakat setempat sentiasa menjadi keutamaan.
“Insya-Allah, saya akan terus memberikan yang terbaik untuk daerah Bagan Datuk yang sentiasa dekat di hati saya,” katanya lagi. – UMNO Online
