Belanjawan Johor 2027: Peruntukan Besar Untuk Pesisir, Sungai Dan Kebajikan Nelayan

JOHOR BAHRU, 19 Nov – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Muszaide Makmor menyambut baik pembentangan Belanjawan Johor 2027 yang menggariskan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya komuniti nelayan dan penduduk di kawasan pesisir pantai.

Beliau berkata, antara inisiatif yang mendapat perhatian ialah Bantuan Kasih Johor sebanyak RM400 seorang kepada nelayan yang layak, selain peruntukan RM3.7 juta bagi pengawalan hakisan pantai.

Jelasnya, peruntukan RM48.4 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan sungai, parit dan kolam takungan banjir turut menjadi langkah penting dalam menangani keperluan penduduk, khususnya di kawasan yang berisiko berdepan banjir.

“Sebagai ADUN Sedili, saya menyambut baik Bantuan Kasih Johor sebanyak RM400 seorang kepada nelayan yang layak, serta peruntukan negeri sebanyak RM3.7 juta bagi pengawalan hakisan pantai dan RM48.4 juta bagi penyelenggaraan sungai, parit dan kolam takungan banjir.

“Inisiatif ini dekat dengan keperluan orang Sedili, khususnya keluarga yang bergantung pada hasil laut dan penduduk kampung pesisir yang berdepan risiko banjir serta hakisan pantai.

“Bantuan kepada nelayan bukan sahaja meringankan beban golongan berkenaan, malah peruntukan bagi pengawalan hakisan pantai serta penyelenggaraan sistem saliran juga penting demi keselamatan dan kesejahteraan penduduk,” katanya.

Dalam pada itu, Muszaide turut merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas naungan Baginda kepada Bangsa Johor.

Beliau turut menzahirkan junjung kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, atas keprihatinan terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat negeri ini.

Muszaide turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Johor serta seluruh barisan Kerajaan Negeri atas pembentangan Belanjawan Johor 2027 bertemakan ‘Johor Maju, Rakyat Sejahtera’.

Terdahulu, dalam Dewan Negeri, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memperuntukkan RM1.53 bilion bagi perbelanjaan pembangunan menerusi Belanjawan Johor 2027, dengan penekanan kepada usaha memperkukuh infrastruktur, memacu ekonomi serta memastikan kemajuan negeri dapat dinikmati seluruh Bangsa Johor.

Belanjawan tersebut bertemakan “Johor Maju, Rakyat Sejahtera” itu menggariskan 284 tekad yang akan dilaksanakan berlandaskan Enam Teras Maju Johor yang memperuntukan pembangunan sebanyak RM1.53 bilion, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan memberi manfaat kepada rakyat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO