Belanjawan Johor 2027 Perkasa Agenda Perumahan Rakyat – Mohd Jafni

JOHOR BAHRU, 19 Nov – Belanjawan Johor 2027 memberi tumpuan kepada usaha memperluas akses perumahan mampu milik serta meringankan beban rakyat menerusi pelbagai inisiatif bantuan pembelian, sewaan dan baik pulih kediaman.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pelbagai inisiatif yang diumumkan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan lebih ramai Bangsa Johor menikmati kediaman yang selesa, selamat dan mampu dimiliki.

Antara inisiatif utama ialah Perumahan Kasih Johor (PKJ) yang merangkumi bantuan pembelian rumah pertama sebanyak RM5,000 kepada 15,000 penerima dengan peruntukan RM75 juta.

Selain itu, bantuan masuk rumah pertama sebanyak RM2,000 disediakan kepada 6,000 penerima melibatkan peruntukan RM12 juta, manakala bantuan sewa rumah sebanyak RM2,500 untuk 10,000 penerima diperuntukkan RM25 juta.

Bagi membantu penyewa, kerajaan negeri turut menyediakan bantuan deposit sewa rumah sebanyak RM1,000 kepada 10,000 penerima dengan peruntukan RM10 juta.

“Syukur Alhamdulillah, Belanjawan Johor 2027 membawa harapan baharu buat Bangsa Johor. Inisiatif yang diumumkan bukan sekadar angka dan peruntukan, sebaliknya usaha untuk membantu rakyat memiliki kediaman sendiri, meringankan beban keluarga serta meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya yang juga ADUN Bukit Permai.

Dalam usaha meningkatkan bekalan kediaman mampu milik, kerajaan negeri menyasarkan pembinaan 11,500 unit Rumah Mampu Milik Johor pada 2027 menerusi kerjasama Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) dan pemaju swasta.

Turut diberi perhatian ialah penyediaan 1,000 unit Rumah Orang Muda Johor bagi membantu golongan belia dan pasangan muda berusia bawah 35 tahun mendapatkan kediaman mampu milik.

Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM20 juta bagi Program Rumah Percuma Kasih Johor, RM35 juta untuk program naik taraf dan baik pulih rumah serta RM10.6 juta bagi pembinaan baharu dan baik pulih rumah asnaf.

Pada masa sama, sebanyak RM125.1 juta disediakan untuk kerja rejuvenasi dan naik taraf Projek Perumahan Rakyat (PPR), Rumah Sewa Kerajaan (RSK) serta flat awam bagi memastikan penghuni menikmati persekitaran kediaman yang lebih selesa dan berkualiti.

Mengulas lanjut, Mohd Jafni berkata kejayaan pelaksanaan semua inisiatif itu memerlukan kerjasama erat seluruh agensi kerajaan negeri dan 16 pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Setiap peruntukan mesti diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berkesan dan setiap inisiatif perlu sampai kepada golongan sasar. Apa yang paling penting ialah rakyat dapat merasai sendiri manfaat serta perubahan daripada usaha yang dilaksanakan,” katanya.

Selain agenda perumahan, Belanjawan Johor 2027 turut memberi perhatian kepada kesejahteraan komuniti, termasuk bantuan kepada penjaja dan peniaga kecil, pembangunan taman rekreasi, pengurusan banjir, keselamatan serta pemerkasaan bandar pintar di seluruh negeri.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Setiausaha Kerajaan Johor dan seluruh jentera pentadbiran negeri atas keutamaan yang diberikan kepada agenda perumahan dan kesejahteraan rakyat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO