UMNO Bukit Gantang Santuni Mangsa Banjir, Terima Kasih Sukarelawan Dan Agensi

KUALA LUMPUR, 16 Nov – UMNO Bahagian Bukit Gantang turun padang menyantuni dan membantu mangsa banjir di beberapa tempat di kawasan itu bagi meringankan sedikit bebanan mereka.

Malam tadi, Ketua UMNO bahagian Mohammad Sollehin Mohamad Tajie bersama Ketua Pergerakan Pemuda Ibnu Rasheed Md Isa membantu pasukan sukarelawan di Trong, Peral memindahkan mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Hampar.

“Dalam keadaan mereka diuji, sekurang-kurangnya kita dapat membantu meringankan sedikit beban dan memastikan mereka tidak keseorangan menghadapi musibah ini.

“Terima kasih kepada semua anggota keselamatan, agensi kerajaan dan para sukarelawan yang bertungkus-lumus membantu penduduk sejak banjir melanda.

“Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan mangsa banjir, melindungi mereka daripada sebarang musibah dan mengurniakan kekuatan dalam menghadapi ujian ini,” kata Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia itu dalam satu catitan di Facebook.

Tambahnya setakat malam tadi seramai 26 keluarga telah ditempatkan di PPS berkenaan selepas kediaman mereka terjejas akibat banjir dan turut menyumbangkan pek makanan malam kepada semua mangsa.

Selain itu, Sollehin juga ke Simpang Halt yang turut terjejas akibat banjir di mana seramai 21 keluarga terlibat dalam kejadian kali ini serta majoriti mereka merupakan keluarga yang sedang menantikan penempatan semula di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Simpang Halt.

“Baru minggu lalu mereka diuji dengan banjir. Hari ini, sekali lagi mereka terpaksa berhadapan dengan ujian yang sama.

“Saya sempat mendengar sendiri rintihan dan keluhan penduduk yang masih menaruh harapan terhadap janji penyediaan kediaman baharu yang dijangka siap pada Mac 2027.

“Bayangkan, setiap kali hujan lebat, mereka terpaksa hidup dalam kebimbangan. Bukan sahaja memikirkan keselamatan keluarga, malah harta benda yang mungkin sekali lagi musnah ditenggelami air,” katanya.

Justeru, Sollehin berharap agar projek kediaman baharu ini dapat disiapkan mengikut jadual pada Mac 2027 tanpa sebarang kelewatan.

Selanjutnya Sollehin turut meninjau keadaan mangsa banjir di SK Simpang yang menempatkan seramai 72 keluarga telah ditempatkan di PPS berkenaan dan jumlah ini masih meningkat berikutan keadaan banjir yang semakin membimbangkan.

“Kebetulan ketika berada di sana, terdapat sebuah keluarga yang ingin berpindah ke PPS. Saya bersama pasukan terus membantu memindahkan keluarga berkenaan ke tempat yang lebih selamat.
“Saya turut berkesempatan menyampaikan pek makanan malam kepada semua mangsa banjir yang berlindung di PPS ini. Semoga sumbangan kecil ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka yang sedang diuji,” katanya yang merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat membantu mangsa banjir. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO