Kemenangan PRN Melaka Suntik Semangat Hadapi PRU-16

LABUAN, 16 Nov – Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menjadi suntikan semangat kepada kepimpinan dan jentera BN Labuan untuk memperkukuh persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata, seluruh kepimpinan BN Labuan bersyukur dengan keputusan PRN Melaka yang menyaksikan BN memenangi 21 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tiga kerusi.

Menurutnya, keputusan itu membolehkan gabungan berkenaan menguasai 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh kepimpinan serta jentera BN dan PN yang bekerja keras sepanjang pilihan raya berkenaan.

“Kemenangan ini merupakan kemenangan ketiga selepas Johor dan Negeri Sembilan. Pada pandangan saya, ia menunjukkan rakyat kembali memberi kepercayaan kepada BN.

“Keputusan di peti undi juga membawa mesej jelas bahawa suara dan rasa tidak puas hati pengundi perlu diambil serius oleh Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Mengulas persiapan di Labuan, Mohd Rafi berkata, pihaknya kini terus memperkemas gerak kerja serta memperkukuh jentera parti sebagai persediaan menghadapi PRU-16.

Katanya, maklum balas positif diterima ketika beliau mengadakan pertemuan dengan masyarakat Labuan daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang hari ini.

Menurutnya, majoriti individu yang ditemui menyuarakan harapan yang sama susulan perkembangan keputusan PRN Melaka.

“Insya-Allah, Gelombang Biru akan sampai ke Labuan. Harapan yang saya dengar hari ini menambah semangat kami untuk terus bekerja dan berkhidmat demi masa depan Labuan,” katanya.

Beliau berkata, BN Labuan akan terus memberi tumpuan kepada usaha mendekati masyarakat serta memperkukuh khidmat kepada rakyat sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi PRU-16. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO