PRN Melaka: Mandat Rakyat Mesti Dibalas Dengan Khidmat – Rosnah
MELAKA, 15 Nov – Kejayaan Barisan Nasional (BN) memperoleh 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 merupakan mandat besar rakyat yang perlu dibalas dengan khidmat bakti, integriti dan kesungguhan dalam menyelesaikan permasalahan masyarakat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, kemenangan itu bukanlah pengakhiran perjuangan, sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab lebih besar bagi semua wakil rakyat yang diberikan kepercayaan.
Beliau menzahirkan rasa syukur atas pencapaian BN dan merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh kepimpinan parti, khususnya Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, serta semua jentera yang bertungkus-lumus sepanjang tempoh pilihan raya.

Keputusan rasmi turut menyaksikan Perikatan Nasional (PN) memenangi tiga kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh empat kerusi, menjadikan gabungan BN-PN menguasai 24 kerusi DUN dan memperoleh majoriti dua pertiga.
Menurut Rosnah, kemenangan berkenaan perlu disusuli pendekatan kepimpinan yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat, mendengar suara masyarakat serta mengambil tindakan terhadap permasalahan di kawasan masing-masing.
“Jangan sesekali mensia-siakan kepercayaan rakyat. Laksanakan amanah dengan penuh integriti, sentiasa mendengar suara masyarakat, mengambil tindakan terhadap permasalahan setempat dan memastikan kebajikan serta kepentingan rakyat menjadi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang tempoh kempen, pendekatan yang dibawa adalah berteraskan fakta dan data dengan mengetengahkan tawaran serta perkara yang mampu dilaksanakan, tanpa menjadikan serangan peribadi, fitnah atau janji tidak realistik sebagai sandaran.
Rosnah turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Melaka yang keluar mengundi dan menunaikan tanggungjawab demokrasi, sambil mengingatkan bahawa setiap undi membawa harapan yang perlu dihargai oleh wakil rakyat terpilih.
Dalam pada itu, beliau turut memberikan penghargaan khusus kepada jentera BN Negeri Sabah dan jentera BN tempatan yang bersama-sama bekerja keras sepanjang PRN berkenaan.
Katanya, segala masa, tenaga, pengorbanan dan komitmen yang dicurahkan oleh jentera dari Sabah amat dihargai meskipun mereka hadir dari luar negeri bagi membantu perjuangan BN di Melaka.
“Kita telah melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin. Kini, amanah kemenangan perlu diterjemahkan melalui khidmat dan bakti kepada rakyat,” katanya.
Beliau berharap seluruh wakil rakyat BN dan PN yang diberikan mandat dapat terus melaksanakan tanggungjawab dengan penuh komitmen serta memastikan kemenangan yang diperoleh benar-benar membawa manfaat kepada rakyat. – UMNO Online
