Perbezaan Politik Bukan Alasan Tafsir Perlembagaan Ikut Kepentingan – Naqib

JOHOR BAHRU, 15 Nov – Perbezaan fahaman dan kepentingan politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk mana-mana pihak memberikan tafsiran berbeza terhadap Perlembagaan Persekutuan, khususnya berkaitan kuasa pengampunan dan kedudukan institusi diraja.

Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, setiap pihak perlu menghormati keluhuran Perlembagaan serta memahami bahawa prinsip keadilan dan hak memohon pengampunan tidak seharusnya dinilai berdasarkan latar belakang atau kecenderungan politik seseorang.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sajak bertajuk ‘Patik Tak Rela’ yang dikongsikan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim pada 14 November lalu, yang menurutnya menimbulkan persoalan mengenai pendirian terhadap kuasa pengampunan sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, sebagai seorang Ahli Parlimen berpengalaman dan mempunyai latar belakang perundangan, Hassan tentunya memahami kedudukan serta peruntukan Perlembagaan berhubung perkara berkenaan.

“Pada tahun 2018, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menerima pengampunan diraja selepas disabitkan kesalahan melalui proses perundangan negara. Ketika itu, pengampunan tersebut diterima dan diraikan oleh penyokong beliau sebagai suatu bentuk keadilan.

“Namun, apabila timbul isu pengampunan yang melibatkan pemimpin daripada kelompok politik berbeza, perbahasannya menjadi jauh lebih kontroversial.

“Adakah prinsip keadilan dan hak mendapatkan pertimbangan pengampunan berubah mengikut siapa yang memohon?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Naqib turut membangkitkan persoalan mengenai pendirian Hassan berhubung tindakan Perdana Menteri yang sebelum ini menjelaskan bahawa beliau membawa permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dimasukkan dalam agenda Lembaga Pengampunan.

Katanya, perkara tersebut perlu diperjelaskan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat, khususnya sama ada kritikan yang disuarakan itu turut melibatkan prinsip yang pernah dijelaskan oleh Perdana Menteri sendiri.

Beliau dalam masa sama menegaskan bahawa hak memohon pengampunan tidak bermaksud seseorang mempunyai hak automatik untuk menerimanya kerana proses serta keputusan berkenaan perlu tertakluk kepada Perlembagaan dan peruntukan undang-undang berkaitan.

“Perlembagaan Persekutuan bukan milik PKR, bukan milik DAP, bukan milik UMNO dan bukan milik mana-mana parti politik.

“Perlembagaan ialah undang-undang tertinggi negara yang mesti dihormati oleh semua pihak. Janganlah kita mengukur prinsip perundangan menggunakan kepentingan politik masing-masing,” katanya.

Tambah beliau, mana-mana Ahli Parlimen mempunyai hak untuk mengkritik, mempersoalkan atau membahaskan sesuatu keputusan, namun perkara itu perlu dilakukan secara bertanggungjawab, berasaskan fakta dan dengan memelihara penghormatan terhadap institusi negara.

Katanya, pemimpin politik juga mempunyai tanggungjawab mendidik masyarakat mengenai keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta kedudukan institusi Raja-Raja Melayu dalam sistem Raja Berperlembagaan.

“Kita boleh berbeza pendirian politik, tetapi jangan sampai rakyat melihat seolah-olah Perlembagaan mempunyai tafsiran yang berbeza mengikut siapa yang mendapat manfaat daripadanya.

“Keadilan tidak mengenal parti. Perlembagaan tidak mengenal warna politik dan penghormatan terhadap institusi negara tidak seharusnya berubah mengikut kepentingan semasa,” katanya.

Naqib yang juga ADUN Panti dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenggara menyeru semua pihak supaya mempertahankan prinsip yang sama tanpa mengira kawan atau lawan demi memastikan keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan institusi diraja terus dihormati.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO