Israk Gesa Hassan Perjelas Maksud Sajak ‘Patik Tak Rela’
JOHOR BAHRU, 15 Nov – Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah mencabar Ahli Parlimen Pasir Gudang, YB Hassan Abdul Karim supaya berterus terang dan menjelaskan maksud sebenar sajak Patik Tak Rela, khususnya jika ia merujuk kepada isu pengampunan diraja Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, sajak nukilan Hassan itu menimbulkan persoalan apabila mengandungi ungkapan “Ampun Tuanku” sebanyak tiga kali sebelum diakhiri dengan gambaran negara “jatuh ke longkang sehina begini”.

Menurutnya, penggunaan bahasa berkias sedemikian boleh mengundang pelbagai tafsiran, lebih-lebih lagi apabila pembaca tidak diberikan penjelasan mengenai pihak yang dipersalahkan atau perkara yang dianggap tidak adil.
“Jika yang YB maksudkan ialah pengampunan diraja Datuk Seri Najib Tun Razak, sebutlah dengan terus terang. Adakah YB membantah keputusan pengampunan itu atau mendakwa prosesnya menyalahi Perlembagaan?” katanya.
Md Israk menegaskan bahawa kuasa pengampunan diraja termaktub dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Justeru, sekiranya Hassan mendakwa terdapat pelanggaran perlembagaan, beliau perlu menyatakan secara khusus peruntukan yang didakwa dilanggar berserta fakta yang menyokong dakwaan berkenaan.
Beliau turut melahirkan rasa terkilan apabila bahasa yang kelihatan halus dalam sesebuah karya puisi boleh membawa sindiran yang begitu berat terhadap institusi diraja.
“Saya terkilan apabila bahasa yang halus membawa sindiran yang begitu berat terhadap institusi diraja. Jangan jadikan sajak dan puisi tempat berselindung sehingga yang tinggal di fikiran rakyat hanyalah syak wasangka,” katanya.
Tambah beliau, kebebasan menyampaikan pandangan termasuk melalui karya sastera tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membiarkan sesuatu mesej yang serius disampaikan secara samar-samar sehingga mengundang kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Kata-kata boleh selesai dibaca dalam seketika. Sangkaan yang ditinggalkannya boleh bertahan jauh lebih lama,” katanya.
Dalam pada itu, Md Israk menegaskan bahawa perbezaan pandangan dalam apa juga isu perlu ditangani dengan penuh kematangan, selain tidak mengabaikan rasa hormat, kesantunan dan batas adab, khususnya apabila menyentuh institusi diraja.
Beliau berkata, nilai tersebut perlu terus dipelihara selaras dengan adab serta nilai luhur Bangsa Johor. – UMNO Online
