Fitnah Projek Johor: Onn Hafiz Seru Rakyat Semak Kesahihan Maklumat

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyeru rakyat sentiasa berhati-hati dan menyemak kesahihan setiap maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya.

Ini kerana katanya, terdapat sejumlah akaun mencurigakan di media sosial yang telah memuat naik pelbagai fitnah mengenai projek pembangunan dan kemudahan awam Johor.

“Laporan polis dan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah dibuat terhadap sejumlah akaun mencurigakan di media sosial yang memuat naik pelbagai dakwaan dan fitnah mengenai projek pembangunan dan kemudahan awam di Johor.

“Apa yang mencurigakan adalah kebanyakan hantaran menggunakan ayat dan naratif hampir sama, mendakwa wujud projek bernilai ratusan juta ringgit, malah menyebut nama syarikat yang pelik dan meragukan. Sebahagian besar akaun ini juga tidak mempunyai sebarang pengikut.

“Saya sentiasa terbuka menerima teguran, kritikan dan aduan daripada Bangsa Johor. Insya-Allah, setiap aduan akan disemak dan diambil tindakan. Tetapi kalau ada pihak yang sengaja menggunakan akaun palsu untuk mereka-reka cerita atau menyebarkan maklumat tidak benar bagi menghasut rakyat, perkara ini tidak boleh dipandang ringan,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsi di laman Facebook dan Threads.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar budaya politik matang dan bertanggungjawab terus diamalkan meskipun dalam musim pilihan raya.

“Kita boleh berbeza pandangan, mengkritik dan tidak bersetuju, tetapi jangan sampai perbezaan politik dijadikan alasan untuk menyebarkan fitnah atau mengelirukan rakyat.

“Pihak saya telah membuat laporan polis dan aduan rasmi kepada MCMC supaya perkara ini disiasat, termasuk kesahihan akaun, kandungan yang disebarkan serta kemungkinan wujudnya aktiviti yang dilakukan secara berkoordinasi. Saya berharap agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

“Kepada seluruh Bangsa Johor, saya nasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan menyemak kesahihan setiap maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya. Semoga Allah SWT sentiasa melindungi negeri Johor yang kita cintai ini daripada segala fitnah, hasad dengki dan niat buruk yang boleh menggugat keharmonian serta kemakmuran Bangsa Johor. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO