Mohamad Hasan Hargai Kepercayaan Pengundi, Kemenangan BN Satu Amanah
KUALA LUMPUR, 15 Nov – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh pengundi Melaka atas kepercayaan yang diberikan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau turut menghargai komitmen seluruh jentera, petugas dan sukarelawan yang telah bertungkus-lumus sepanjang tempoh kempen sehingga membolehkan BN memperoleh kemenangan.

Menurutnya, pengorbanan semua pihak menjadi tulang belakang kepada kejayaan yang dicapai.
“Alhamdulillah, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh pengundi Melaka atas kepercayaan yang diberikan kepada Barisan Nasional.
“Terima kasih juga kepada seluruh jentera, petugas dan sukarelawan yang telah bertungkus-lumus sepanjang kempen. Pengorbanan anda menjadi tulang belakang kejayaan ini,” katanya.
Mohamad berkata, kepercayaan yang diberikan itu merupakan satu amanah yang akan digalas dengan penuh tanggungjawab.
“Insya-Allah, kami akan terus berkhidmat dengan ikhlas demi kestabilan dan kemajuan seluruh rakyat Melaka,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Luar berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebooknya lantaran berada di Manila bersempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49. – UMNO Online
