“Kalau Dah Langgar Syarat… Serah Semula Mandat Pada Rakyat”
HANG TUAH JAYA, 13 Nov – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata perjanjian yang menjadi asas pembentukan Kerajaan Perpaduan perlu dipatuhi sepenuhnya.
Beliau berkata kegagalan mematuhi syarat yang telah dipersetujui itu boleh menyebabkan perjanjian berkenaan terbatal dengan sendirinya.
“Dalam perjanjian itu, kita menggariskan syarat-syarat yang jelas bahawa kerajaan ini kita wujudkan bersama atas titah Yang di-Pertuan Agong dengan beberapa parameter, garis panduan termasuk mesti sentiasa taat dan setia.
“Kalau mereka sudah mula merasakan bahawa mereka tak boleh lagi berpegang kepada syarat-syarat ini, maka dengan sendirinya perjanjian itu akan terbatal… serahkan balik mandat itu kepada rakyat.
“Presiden UMNO selalu menyebut kita tidak mahu tebuk atap. Tidak ada pertukaran Perdana Menteri, sebaliknya apa yang kita mahu ialah menyerahkan semula mandat kepada rakyat.
“Jangan menyusahkan rakyat dengan polemik berterusan yang menyebabkan kerajaan tidak stabil, pandangan pelabur pun tidak akan baik kepada rakyat,” katanya.
Dr Asyraf berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Pengerusi DAP, Gobind Singh, yang menyeru Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan sekiranya tidak lagi yakin dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
beliau berkata demikian ketika Ceramah Grand Finale BN & PN di Dewan Al-Muallim Hj Abdul Wahid, turut hadir Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.
Hadir sama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden MCA, Datuk Seri Ir Wee Ka Siong; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Presiden Wawasan, Datuk Seri Hamzah Zainudin; dan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Sementara itu Dr Asyraf pada ucapannya turut berharap persengketaan politik antara UMNO dan PAS pada masa lalu perlu dijadikan pengajaran.
Katanya ia bagi membuka lembaran baharu yang lebih mengutamakan kepentingan rakyat, agama serta negara.
“Siapa sangka dahulu kami di UMNO cukup alergik dengan warna hijau, tetapi hari ini kita boleh berada sepentas bersama-sama.
“Kalau hendak diungkit kisah lama, sampai pagi esok pun saya boleh senaraikan apa yang pimpinan PAS pernah katakan tentang UMNO. Begitu juga Tuan Guru boleh senaraikan apa yang UMNO pernah lakukan dan katakan terhadap PAS.
“Tetapi ambillah perkara itu sebagai pengajaran. Yang lepas biarlah berlalu, kita buka lembaran baharu kerana perkara yang mahu kita fokuskan ialah rakyat,” ujar beliau.
Untuk rekod ceramah berkenaan diadakan bersempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, yang menyaksikan pemimpin BN dan PN berkongsi pentas yang sama.
Tinjauan mendapati ribuan rang ramai yang hadir dalam penyokong BN dan PN bagi mendengar amanat serta perkongsian daripada pemimpin gabungan masing-masing. – UMNO Online
