Manifesto BN Melaka Inklusif, Rangkumi Kepentingan Semua Kaum

HANG TUAH JAYA, 12 Nov – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan manifesto Barisan Nasional (BN) Melaka bersifat inklusif dengan merangkumi kepentingan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

Beliau berkata, pendekatan itu selaras dengan komitmen BN untuk memastikan setiap inisiatif yang dirancang dapat dinikmati semua rakyat di negeri berkenaan.

“Jika kita melihat manifesto BN di Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh telah menegaskan bahawa tidak pernah wujud sebarang bentuk diskriminasi, sama ada dari segi kaum mahupun agama.

“Apabila kita menyebut rakyat Melaka, ia merangkumi semua lapisan masyarakat termasuk orang Melayu, Cina, India, masyarakat minoriti, India Muslim, Orang Asli dan sebagainya.

“Manifesto BN juga tidak pernah memfokuskan kepada mana-mana kaum tertentu sahaja. Sebaliknya, segala inisiatif yang dirancang dan akan dilaksanakan merangkumi kepentingan seluruh rakyat kerana manifesto ini bersifat inklusif,” katanya.

Asyraf berkata demikian pada Program Bersama Pengundi India Muslim (KIMMA) di Bilik Gerakan Pengkalan Batu yang dirasmikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut hadir Presiden KIMMA, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader.

Turut hadir calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Siti Aisyah Mahmood; DUN Ayer Keroh, Datuk Michael Gan Pen Lam; DUN Bukit Katil, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif dan DUN Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Dalam pada itu, beliau turut sama menyambut baik kenyataan Ahmad Zahid berhubung usaha memperkukuh kerjasama antara BN dan PN untuk diperluas ke peringkat nasional menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Katanya, kesepakatan yang terjalin menerusi PRN Melaka menjadi asas penting bagi membentuk kerjasama lebih erat, bukan sahaja di peringkat Parlimen, malah turut melibatkan negeri-negeri.

“Saya berpandangan, dengan adanya kesepakatan seperti ini, kita amat yakin dapat memeterai kerjasama yang lebih erat bagi menghadapi PRU akan datang.

“Malah, kerjasama ini bukan sahaja boleh dilaksanakan di peringkat Parlimen, tetapi juga diperluas ke negeri-negeri yang kini ditadbir oleh PN,” ujar beliau.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala hari pengundian awal pada 10 November.

DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO