Jangan Korbankan Kestabilan Demi Janji Yang Belum Terbukti – Shahrizat
ALOR GAJAH, 13 Nov – Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, UMNO Malaysia (Hawa), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menyeru rakyat khususnya kaum wanita untuk menghargai kestabilan politik yang dikecapi negara bagi jaminan masa depan generasi akan datang.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata kestabilan pemerintahan yang dibawa Barisan Nasional (BN) selama ini telah menyumbang kepada pembangunan dan kemakmuran negara, sekali gus memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat.
“Kita sebagai ibu dan isteri amat memahami betapa pentingnya kestabilan negara. Sekiranya negara berada dalam keadaan tidak menentu atau kita tersalah memilih kerajaan, suami mungkin kehilangan pekerjaan, anak-anak pula berdepan kesukaran untuk mendapatkan pendidikan dan pekerjaan.
“Kita sendiri juga mahu menjalani kehidupan dengan selesa, beribadah, mencari rezeki dan membesarkan keluarga dalam suasana yang aman,” katanya.
Shahrizat berkata demikian ketika berucap pada Nur Mahabbah Hawa Ziarah HAWACare di sini hari ini bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, turut hadir isteri Presiden UMNO, Datin Seri Hamidah Khamis.
Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan rakyat supaya tidak mengambil mudah segala kemajuan dan kestabilan yang telah dikecapi hanya kerana ingin mencuba sesuatu yang belum pasti.
Menurutnya, setiap keputusan perlu dibuat dengan pertimbangan sewajarnya agar segala usaha pembangunan yang dibina sekian lama tidak terjejas akibat pilihan yang tidak tepat.
“Janganlah kita mengambil mudah segala yang telah dikecapi hanya kerana mahu mencuba sesuatu yang belum pasti… jangan kita membuat percubaan semata-mata untuk melihat apa yang akan berlaku selepas itu.
“Kita semua bijak dan mampu menilai keadaan. Namun, janganlah segala usaha yang telah dibina sekian lama akhirnya terjejas disebabkan keputusan yang dibuat tanpa pertimbangan sewajarnya.
“Justeru, kita berharap pembangunan dan kemakmuran ini dapat diteruskan di bawah kepimpinan kerajaan BN hari ini,” ujar beliau. – UMNO Online
