Jelajah Kesihatan Dan Santuni Pengundi; Birukan Melaka

USAHA mendekati rakyat secara bersemuka terus dipergiat menerusi Program Jelajah Kesihatan dan Ziarah Kasih anjuran Kelab Sahabat Najib 87 (KSN87) dengan kerjasama Veteran UMNO Melaka serta jentera Barisan Nasional (BN) di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka.

Jelajah ini dimulakan di DUN Ayer Molek, kawasan calon BN Datuk Ridhwan Ali, kemudian diteruskan ke DUN Rim, kawasan calon BN Datuk Dira dan seterusnya ke DUN Tanjung Bidara, kawasan calon BN Datuk Seri Dr. Ab Rauf Yusoh. Program ini turut membantu kempen calon BN muka baharu di DUN Rembia, iaitu Saudara Azril Aziz.

Program ini bukan sekadar menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan di Pusat Daerah Mengundi (PDM), malah turut disusuli aktiviti Ziarah Kasih bagi menyantuni pengundi, mendengar keluh kesah serta memahami sendiri denyut nadi kehidupan masyarakat setempat.

Pendekatan turun padang ini merupakan usaha memperkukuh hubungan dengan rakyat, membina ukhuwah dan mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap perjuangan BN.

Sambutan positif yang diterima sepanjang program memperlihatkan bahawa rakyat masih menghargai rekod perkhidmatan, pengalaman serta komitmen BN dalam melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat.

Dalam perkembangan berkaitan, manifesto bersama BN dan Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 yang bertemakan “Membina Masa Depan Melaka, Memakmurkan Negara” turut menawarkan hala tuju pembangunan negeri yang merangkumi satu matlamat, enam teras utama, 113 inisiatif dan 20 komitmen utama.

Antara tawaran yang diketengahkan termasuklah bekalan air domestik percuma bagi penggunaan di bawah 20 meter padu, tiada kenaikan cukai tanah selama lima tahun, sasaran pembinaan 25,000 unit rumah mampu milik serta penyediaan 25,000 peluang pekerjaan baharu.

Selain itu, manifesto berkenaan turut memberi penekanan kepada aspek kebajikan dan kesihatan rakyat menerusi cadangan penyediaan perkhidmatan satu PBT satu ambulans, simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebanyak RM100 untuk bayi yang baru lahir bermula Januari 2027 serta peluang mengikuti kursus Internet of Things (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI) secara percuma untuk golongan belia dan suri rumah.

Kesemua tawaran ini memperlihatkan penekanan terhadap enam teras utama, iaitu kebajikan rakyat, tadbir urus, ekonomi baharu, infrastruktur, modal insan dan pembangunan anak muda, dengan pelaksanaan secara berfasa dalam tempoh 100 hari, setahun dan lima tahun.

Apa yang jelas, rakyat mahukan kepimpinan yang bukan sekadar menjanjikan sesuatu, tetapi mampu membuktikan hasil kerja, menunaikan tanggungjawab dan sentiasa dekat dengan denyut nadi mereka.

Menjelang 14 November ini, seluruh jentera dan penyokong BN diseru untuk terus memperkukuh gerak kerja serta menyemarakkan semangat perjuangan demi masa depan Melaka.

Sabtu ini, 14 November, kita pakat turun ramai-ramai. Kita birukan Melaka!
Kita geng biru. Mana lagi? Melaka ler!
Selamat Mengundi.


DR. AIMAN JA’APAR
AJK UMNO Bahagian Gombak
Ketua Pemuda UMNO Cawangan Taman Kamariah, Gombak
Pasukan Perubatan Kelab Sahabat Najib 87 (KSN87)

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO