Pecutan Terakhir Fokus Bawa Pengundi Keluar Mengundi – Rosni Sohar

SUNGAI BATU, 12 Nov – Pecutan terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, dengan tumpuan kini beralih kepada usaha memastikan pengundi putih keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian, kata Setiausaha Wanita Barisan Nasional (BN), Datuk Rosni Sohar.

Katanya, jentera Wanita BN di seluruh bahagian dan kawasan angkat juga telah menyusun perancangan rapi bagi memastikan pengundi sasaran dapat dibawa keluar mengundi seawal mungkin, terutamanya pada hari pengundian.

“Kerja di lapangan sudah kita selesaikan. Mendekati dan menyantuni pengundi juga sudah selesai. Sekarang kita hanya menunggu masa dan ketika untuk memastikan pengundi putih kita keluar mengundi.

“Jentera di setiap bahagian sudah menyusun gerak kerja masing-masing dan memberi tumpuan kepada pengundi yang perlu dibawa keluar mengundi. Kita mahu memastikan semuanya berjalan lancar dan teratur.

“Suasana kempen kali ini juga dilihat lebih teratur dan tenang berbanding pilihan raya sebelum ini, selain semangat gelombang biru semakin dirasai di segenap kawasan,” katanya kepada UMNO Online.

Rosni yang Setiausaha Wanita UMNO Malaysia berkata, kerjasama Wanita BN bersama rakan strategik daripada Perikatan Nasional (PN) turut diselaraskan dengan baik menerusi gerak kerja bersama di lapangan.

“Kedua-dua pihak telah menyusun strategi ziarah dan pendekatan kepada pengundi secara bersama, termasuk membantu kempen calon masing-masing tanpa mengira parti yang diwakili.

“Rakan strategik kita sudah bersedia untuk bekerjasama. Kita tentukan rumah mana yang perlu diziarahi bersama dan sekiranya mereka mahu datang ke kawasan kita, kita juga akan turun bersama.

“Tidak kira sama ada calon BN atau calon rakan strategik, jentera wanita akan memberikan sokongan dan membantu memastikan kemenangan calon yang bertanding,” jelasnya.

Tambah beliau, kerjasama erat antara jentera wanita BN dan rakan strategik perlu terus diperkukuh sehingga hari pengundian bagi memastikan segala usaha sepanjang tempoh kempen diterjemahkan kepada kemenangan pada 14 November ini. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO