UMNO Tegas Pertahan Titah Agong, Hormati Kuasa Pengampunan

KUALA LUMPUR, 11 Nov – UMNO menegaskan pendirian untuk mempertahankan kemuliaan dan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong serta Institusi Raja-Raja Melayu susulan ketegasan titah Seri Paduka Baginda berhubung pelaksanaan pengampunan bersyarat yang membawa kepada tahanan rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu merafak sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas ketegasan titah berkenaan.

Menurutnya, keputusan pengampunan bersyarat yang diberikan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan merupakan cerminan kuasa dan hak perlembagaan Yang di-Pertuan Agong yang wajib dihormati semua pihak.

“Sesungguhnya keputusan pengampunan bersyarat yang diberikan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan adalah cerminan kuasa dan hak Perlembagaan Kebawah Duli Tuanku yang wajib dihormati oleh segenap lapisan institusi dan rakyat jelata,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.

Beliau berkata, UMNO berpandangan sebarang tindakan yang memperlihatkan unsur protes terhadap keputusan pengampunan bersyarat berkenaan boleh membawa maksud mencabar serta menderhaka kepada kuasa perlembagaan Seri Paduka Baginda.

“UMNO berpendirian sebarang perbuatan yang memperlihatkan unsur-unsur protes termasuk menjadikan keputusan pengampunan bersyarat yang dititahkan sebagai alasan sesuatu tindakan diambil, ia boleh membawa maksud kepada mencabar dan menderhaka terhadap kuasa Perlembagaan Tuanku,” katanya.

Ahmad Zahid menegaskan UMNO akan terus berdiri teguh mempertahankan institusi diraja sebagai tonggak penting dalam sistem pemerintahan negara.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara hukum dan setiap proses berkaitan perundangan perlu bergerak dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

“Malaysia adalah negara hukum dan selagi mana proses yang melibatkan soal perundangan tertakluk dalam kerangka Perlembagaan, menjadi tanggungjawab semua rakyat untuk mempertahankannya,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO