‘Orang Duyong Tahu Nilai Khidmat Bakti Saya’ – Helmy
KOTA MELAKA, 11 Nov – Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem yakin pengundi di kawasan ini menilai rekod khidmat yang dilakukan beliau sepanjang bergelar wakil rakyat di DUN berkenaan.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kota Melaka berkata ini kerana baki beberapa hari lagi tempoh kempen tidak menjadi tekanan buatnya kerana usaha mendekati masyarakat telah dilakukan sejak sekian lama.
“Kita santai-santai sahaja sebab kita sudah berkempen empat tahun lepas… hendak sambung lagi empat, lima hari apalah sangat… insya-Allah.
“Orang luar boleh kata apa saja, datang baru seminggu dua tetapi bercerita macam sudah duduk sini bertahun lamanya.
“Tetapi tidak mengapa, saya percaya rakyat Duyong tahu dan mampu menilai,” katanya.
Helmy berkata demikian ketika ditemui meria selepas prohram AZH Jelajah E-Sports Melaka Biru 2026 bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Restoran Selera Hang Tuah, Kota Melaka semalam.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan politik amal bakti sebagai identiti BN yang masih dekat dengan hati masyarakat.
Malah katanya, PRN Melaka kali ini menjadi medan menilai penerimaan pengundi terhadap pendekatan sama yang turut dibawa dari Johor dan Negeri Sembilan.
“Politik amal bakti ini sememangnya sinonim dengan BN. Selama ini, BN bergerak berlandaskan pendekatan politik amal bakti. Mungkin sebelum ini kita tenggelam dengan pelbagai perkara yang lebih mendapat perhatian dan disensasikan di media sosial serta media massa.
“Kita percaya sebenarnya masyarakat masih merindui politik amal bakti. Kalau dahulu, ada pihak yang datang mendekati rakyat, tetapi sekarang tidak lagi kelihatan di sesetengah tempat.
“Tapi kita hendak tengok corak pengundian kali ini di mana Johor, Negeri Sembilan telah membuktikan politik amal bakti, adakah Melaka sama juga,” ujar beliau.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala hari pengundian awal pada 10 November.
DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. – UMNO Online
