Ahmad Zahid Yakin BN Dapat Sokongan Pengundi Melaka

MELAKA, 11 Nov – Barisan Nasional (BN) menyatakan keyakinan terhadap peluang parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, dengan berharap pengundi memberikan kepercayaan dan sokongan kepada calon-calon yang diketengahkan.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO berkata, BN telah mengemukakan manifesto pilihan raya yang mengandungi 113 perkara sebagai tawaran kepada rakyat Melaka.

Ujarnya, manifesto berkenaan dirangka berasaskan beberapa teras utama dengan mengambil kira kepelbagaian masyarakat negeri itu yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur, kaum, agama, budaya dan bahasa.

Menurutnya, tempoh kempen yang berbaki kurang 72 jam perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh semua parti bertanding sebelum berakhir pada 13 Disember, jam 12 tengah malam.

“Saya bersyukur kerana semua parti yang bertanding menghormati tata etika dengan mempunyai tata susila kempen yang baik.

“Walaupun keadaan ini sangat tegang berbanding pilihan raya negeri yang lain atau pilihan raya kecil, kita mengharapkan agar pada hari akhir ketika pemilihan dijalankan, mudah-mudahan tidak ada sebarang peristiwa yang tidak diingini berlaku,” katanya kepada media selepas program Khatam Perdana Pra Tahfiz, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menyatakan keyakinan terhadap kemampuan pasukan keselamatan serta kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar dan terkawal pada 14 Nov ini.

Beliau berkata, Melaka yang selama ini ditadbir dengan baik diharapkan terus mendapat sokongan rakyat menerusi mandat yang diberikan kepada calon-calon BN.

“Kita berharap kepercayaan dan juga sokongan dapat diberikan kepada calon-calon Barisan Nasional yang kita ketengahkan, insya-Allah,” katanya lagi.

PRN Melaka ke-16 menyaksikan 79 calon disahkan bertanding bagi merebut 28 kerusi DUN, dengan hari pengundian ditetapkan pada 14 November ini. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO