Subsidi 30 Peratus Caruman i-Suri, Pendidikan Anak Turut Jadi Keutamaan Dr Akmal
MERLIMAU, 11 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mengemukakan cadangan pemberian subsidi sebanyak 30 peratus bagi caruman i-Suri sebagai usaha memperluas perlindungan sosial kepada golongan suri rumah dan wanita yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
Beliau berkata, menerusi inisiatif berkenaan, pencarum i-Suri di Merlimau hanya perlu menanggung 70 peratus daripada jumlah caruman, manakala baki 30 peratus akan ditanggung menggunakan peruntukan yang disediakan.
“Kalau i-Suri itu RM200, kalau kena bayar satu tahun RM200, tetapi orang Merlimau hanya akan bayar lebih kurang RM140 sahaja. Sebab 30 peratus kita akan bayarkan menggunakan peruntukan yang ada pada kita.
“Sebab kita mahu lindungi ibu-ibu kita, orang yang tidak bekerja dan golongan suri rumah kita. Kalau ada apa-apa berlaku, mereka boleh mendapat perlindungan melalui PERKESO,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sembang Santai dan Makan Malam Bersama Masyarakat Cina di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Merlimau Utara, di sini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Selain kebajikan golongan wanita, beliau turut menegaskan pendidikan anak-anak merupakan antara dua teras utama yang menjadi keutamaan sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai wakil rakyat.
Menurutnya, usaha membantu keluarga yang berdepan kesukaran kewangan termasuk membayar yuran persekolahan anak-anak dilaksanakan tanpa mengira kaum, selain memastikan tiada permohonan bantuan pendidikan untuk melanjutkan pengajian yang ditolak.
“Ramai dalam kalangan kita bukan orang senang, tetapi nak mengubah nasib kita hanya melalui pendidikan anak-anak.
“Sebab itu apa yang kita buat, semua anak-anak Cina, Melayu atau India, dalam pendidikan nak sambung belajar, saya tak pernah tolak walau satu pun permintaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan hasrat memperkenalkan kelas tuisyen bahasa Mandarin dan Tamil secara percuma bagi memberi peluang kepada anak-anak pelbagai kaum mempelajari bahasa masing-masing.
Katanya, penguasaan pelbagai bahasa sejak kecil bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran komunikasi, malah membantu generasi muda memahami budaya dan menghormati antara satu sama lain.- UMNO Online
