RISDA Salur RM31.47 Juta Perkasa Pekebun Kecil Getah Melaka Dalam Tempoh Tiga Tahun

MELAKA, 11 Nov – Kerajaan melalui RISDA menyediakan peruntukan pembangunan berjumlah RM31.47 juta bagi negeri Melaka sepanjang tempoh 2024 hingga 2026 dalam usaha memperkasa ekonomi pekebun kecil getah serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat desa.

Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata, peruntukan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan sektor pekebun kecil terus diberi perhatian, khususnya dalam meningkatkan produktiviti dan memperluas peluang ekonomi keluarga.

Menurut beliau, Melaka mempunyai seramai 9,865 pekebun kecil getah yang mengusahakan 10,273 lot tanah dengan keluasan tanaman melebihi 11,100 hektar, terutama di daerah Alor Gajah dan Jasin.

Katanya, angka itu memperlihatkan kepentingan sektor getah dalam menyokong ekonomi desa, sekali gus memerlukan usaha berterusan bagi memastikan golongan pekebun kecil tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

“RISDA akan terus beriltizam memperkasa komuniti ini melalui pelbagai inisiatif merangkumi program tanam semula getah, peningkatan produktiviti, pengukuhan pemasaran hasil serta peluasan peluang ekonomi keluarga pekebun kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Perasmian Program Kemakmuran Pekebun Kecil dan Hari Terbuka RISDA Negeri Melaka 2026 di Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), di sini, semalam.

Majlis berkenaan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Manndzri berkata, penganjuran program itu bukan sekadar menghimpunkan kira-kira 1,000 pekebun kecil dan warga desa, sebaliknya menjadi platform untuk mendekati masyarakat, mendengar pandangan serta memahami keperluan sebenar golongan berkenaan.

Jelasnya, hubungan kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta RISDA dengan pekebun kecil tidak seharusnya terbatas kepada urusan penyaluran bantuan semata-mata, tetapi perlu diperkukuh melalui bimbingan, komunikasi dan kerjasama berterusan.

“Bagi kami, hubungan Kerajaan melalui KKDW dan RISDA dengan pekebun kecil tidak seharusnya terbatas kepada urusan penyaluran bantuan semata-mata. Sebaliknya, ia perlu diperkukuh melalui bimbingan, komunikasi dan kerjasama berterusan agar setiap inisiatif benar-benar memenuhi keperluan masyarakat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap inisiatif pembangunan perlu dilaksanakan dengan berkesan supaya manfaatnya benar-benar sampai kepada golongan sasaran.

Dalam pada itu, program berkenaan turut menjadi medan menghargai kecemerlangan pekebun kecil menerusi penyampaian anugerah, selain penyerahan beberapa inisiatif pembangunan, kebajikan dan sumbangan Yayasan RISDA.

Manndzri berkata, pengiktirafan itu bukan sahaja menghargai usaha serta kegigihan pekebun kecil, malah diharap dapat menjadi motivasi kepada komuniti lain untuk terus meningkatkan pencapaian.

Pada masa sama, keberadaan UCAM dan Kolej RISDA Sdn. Bhd. turut memperlihatkan komitmen RISDA terhadap pendidikan serta pembangunan kemahiran generasi muda desa.

Beliau berkata, usaha berkenaan selari dengan aspirasi Desa Lestari yang menekankan pembangunan ekonomi komuniti, peningkatan keupayaan masyarakat dan pewujudan sumber pendapatan desa yang lebih mampan.

Justeru, kerjasama erat antara KKDW, RISDA, Kerajaan Negeri Melaka dan semua pihak perlu diteruskan bagi memastikan komuniti pekebun kecil terus maju, berdikari serta berdaya saing. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO