Kerjasama BN-PN Makin Kukuh, Petanda Positif Pertahan Taboh Naning – Mohd Isam

TABOH NANING, 10 Nov – Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa menyifatkan kerjasama erat antara jentera Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning semakin memperlihatkan kekuatan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurut beliau, komitmen dan kesepaduan kedua-dua jentera parti yang semakin terserlah di lapangan menjadi petunjuk positif terhadap peluang BN untuk mempertahankan kemenangan di kerusi berkenaan.

Jelasnya, beliau yang hadir memenuhi jemputan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Rantau Panjang, DUN Taboh Naning bagi menghadiri ceramah gabungan BN-PN, melihat sendiri kesungguhan jentera kedua-dua parti dalam memperhebat gerak kerja kempen.

“Alhamdulillah, malam ini saya dijemput ke PDM Rantau Panjang di bawah DUN Taboh Naning untuk bersama-sama dalam ceramah gabungan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

“Saya melihat kehadiran serta komitmen antara BN dan PN cukup baik dalam menghadapi PRN Melaka. Malah, di N.05 Taboh Naning ini, kerjasama yang ditunjukkan amat memberangsangkan.

“Jentera PN dan BN juga bergerak seiring, berganding bahu mencari serta mendekati pengundi bagi memastikan kemenangan dapat diterjemahkan di Taboh Naning,” katanya di Pentas Gelombang Biru malam tadi

Turut hadir Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Maslan; ADUN Gemencheh, Suhaimizan Bizar; calon BN bagi DUN Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Ketua Penerangan PN Ahmad Fadhil Shaari
serta pengundi dan jentera BN-PN di PDM Kampung Rantau Panjang, malam tadi.

Beliau berharap momentum kerjasama berkenaan terus dipertahankan sehingga hari pengundian, khususnya dalam memastikan seramai mungkin pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

Mengulas lanjut, kata Ahli Parlimen Tampin berkata, maklum balas yang diterima sepanjang minggu kempen menunjukkan perkembangan cukup positif terhadap calon BN, Datuk Zulkiflee (Acik Zul), yang menggunakan nombor calon dua.

“Penerimaan masyarakat terhadap Abang Zul amat baik. Beliau merupakan penyandang dan pengalaman sebagai wakil rakyat sebelum ini memberi kelebihan kerana rakyat sudah mengenali beliau.

“Kita juga tidak boleh membuang masa kerana masih banyak perkara yang ingin disampaikan oleh Abang Zul kepada pengundi. Hasil kerja dan khidmat yang dilaksanakan sebelum ini mula menampakkan hasil, sekali gus menjadi asas untuk beliau menawarkan kesinambungan pembangunan,” katanya lagi.

Tambah beliau, berdasarkan perkembangan positif sepanjang tempoh kempen terutamanya kekuatan jentera serta penerimaan baik masyarakat setempat serta optimis mampu mencatatkan kemenangan selesa di DUN Taboh Naning pada PRN Melaka kali ini.

“Saya menjangkakan BN tidak menghadapi masalah untuk memperoleh kemenangan di N.05 Taboh Naning. Malah, tidak mustahil calon PH boleh kehilangan deposit berdasarkan perkembangan dan penerimaan pengundi yang kita lihat setakat ini,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO