Pelan Pembangunan Lima Tahun Jadi Keutamaan Jezlee Di Sungai Rambai
JASIN, 9 Nov – Pelan Pembangunan Sungai Rambai Lima Tahun menjadi antara fokus utama calon Barisan Nasional (BN) DUN Sungai Rambai, Jezlee Pit dalam merancang pembangunan kawasan itu secara lebih tersusun dan menyeluruh.
Beliau berkata, perancangan berkenaan mengambil kira keperluan menyelesaikan projek pembangunan terdahulu yang terbengkalai atau tidak diurus dengan baik, selain memperkenalkan beberapa inisiatif baharu bagi meningkatkan kemudahan dan kesejahteraan penduduk.

Antara cadangan pembangunan yang diketengahkan termasuk pembangunan Bandar Baru Sungai Rambai, Pusat Rekreasi Bersepadu di pesisiran Sungai Kesang serta pembinaan kompleks sukan bersepadu di Batu Gajah, Kamar.
Menurutnya, perancangan itu turut memberi perhatian kepada potensi ekonomi setempat menerusi pembangunan sektor pertanian dan pelancongan berasaskan sawah padi, mengambil contoh pendekatan pembangunan di Sekinchan.
Katanya, kawasan sawah bukan sahaja boleh dimanfaatkan untuk pengeluaran padi, malah berpotensi menjadi tarikan ekonomi menerusi aktiviti perniagaan, kedai kopi dan lokasi rekreasi yang mampu memberi pulangan kepada masyarakat setempat.
Beliau berkata demikian ketika mengulas hala tuju pembangunan DUN Sungai Rambai yang dirancang bagi tempoh lima tahun akan datang.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh manifesto BN peringkat negeri yang menggariskan kira-kira 20 komitmen merangkumi kebajikan semua golongan masyarakat dan peringkat umur.
Antara inisiatif yang diketengahkan termasuk diskaun, bekalan air percuma serta penyediaan rumah mampu milik khususnya bagi membantu golongan berpendapatan rendah.
Beliau berkata, sekiranya diberi mandat, perancangan pembangunan yang digariskan itu akan diberi perhatian bagi memastikan keperluan penduduk dan pembangunan Sungai Rambai terus menjadi keutamaan. – UMNO Online
