Pentas Gelombang Biru BN-PN Seluruh Melaka, Suntik Semangat Jentera

TANGGA BATU, 9 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin yakin Gelombang Biru yang semakin dirasai sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan terus diperkukuh sekali gus membawa kemenangan kepada BN.

Menurutnya, beberapa siri ceramah perdana yang melibatkan pemimpin utama parti akan digerakkan di seluruh negeri bagi memperhebat penerangan, menyantuni pengundi serta menyemarakkan momentum sokongan terhadap BN.

Katanya, bagi peringkat DUN Sungai Udang, Ceramah Perdana BN-PN akan menampilkan Naib Presiden PN Datuk Dr Idris Ahmad dan Datuk Seri Reezal Merican yang dijadual berlangsung di Command Centre.

“Ceramah perdana BN-PN dan ianya bergerak seluruh negeri seluruh Melaka bagi memastikan mesej perjuangan dan tawaran BN sampai kepada rakyat.

“Manakala di DUN Paya Rumput, insya-Allah saya juga akan hadir bertemu anak-anak serta pengundi di kawasan berkenaan yang merindui kehadiran saya.

“Ceramah perdana di Paya Rumput turut menampilkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan,” katanya kepada media selepas program Santai Anak Muda Sungai Udang, malam tadi.

Kata beliau, BN akan terus mempergiat gerak kerja kempen bagi memastikan gelombang sokongan itu bukan sekadar fenomena sementara, sebaliknya diterjemahkan kepada kemenangan pada PRN Melaka kali ini.

Seterusnya kata Rais turut menyuarakan keyakinan bahawa gelombang biru yang semakin dirasai ketika ini akan terus diteruskan dan diperkukuh di seluruh negeri Melaka menerusi momentum kempen serta gerak kerja jentera parti yang berterusan.

“Saya yakin gelombang biru BN-PN ini akan terus diteruskan di seluruh negeri Melaka sehingga memperoleh mandat dan kepercayaan rakyat untuk meneruskan kesinambungan pembangunan serta membawa kemajuan kepada negeri ini,” ujarnya.

Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Nov sebagai hari mengundi bagi PRN Melaka manakala undi awal pada 10 Nov.

Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 13 Nov(Jumaat). – UMNO Online.

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO