UMNO Pagoh Buat Laporan Polis Isu Titah Tahanan Rumah Najib
MUAR, 9 Nov – UMNO Bahagian Pagoh membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar berhubung isu pelaksanaan titah Yang di-Pertuan Agong berkaitan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Datuk Ismail Mohamad berkata, laporan tersebut dibuat menerusi Ketua Penerangan UMNO Bahagian Pagoh, Kamarulariffin Mohamed bersama Setiausaha UMNO Bahagian.
Menurutnya, laporan berkenaan bertujuan meminta pihak berkuasa menyiasat isu keengganan Jabatan Peguam Negara (AGC) melaksanakan titah berkenaan.
Katanya, titah tersebut merupakan keputusan Yang di-Pertuan Agong menerusi Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda dan turut dihadiri pihak AGC.
Beliau berkata, isu berkenaan telah menimbulkan persepsi dalam kalangan masyarakat seolah-olah Institusi Istana boleh diperkotak-katikkan oleh pihak lain.
“Laporan dibuat agar pihak berkuasa menyiasat keengganan pihak AGC melaksanakan titah yang mana ia merupakan keputusan Agong yang dibuat menerusi Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh YDPA serta turut dihadiri oleh AGC.
“Isu ini telah menyebabkan masyarakat melihat seolah-olah Institusi Istana boleh diperkotak-katikkan oleh pihak lain,” katanya.- UMNO Online
