BN Asas Pembangunan Melaka, Teruskan Kesinambungan – Ahmad Shabery
MELAKA, 10 Nov – Pelbagai perancangan pembangunan yang dimulakan Barisan Nasional (BN) ketika menerajui kerajaan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada visi jangka panjang untuk membawa Melaka menjadi negeri yang lebih maju dan berdaya saing.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kesinambungan dasar dan projek pembangunan amat penting supaya perancangan yang telah dibuat dapat disempurnakan serta memberikan pulangan kepada rakyat.
Menurutnya, pembangunan sesebuah negeri tidak boleh hanya dinilai berdasarkan tempoh satu penggal kerajaan kerana projek infrastruktur berskala besar memerlukan perancangan, pelaburan dan pelaksanaan dalam tempoh yang panjang.

“Apabila kita merancang sesuatu projek, kita bukan hanya memikirkan keadaan hari ini. Kita melihat keperluan Melaka untuk 10 atau 20 tahun akan datang.
“Sebab itu kesinambungan pembangunan penting. Apa yang telah dirancang dengan baik perlu diberikan perhatian supaya manfaatnya akhirnya dapat dinikmati oleh rakyat,” katanya ketika bercakap dalam Program Sembang Santai bersama khalayak, di sini.
Beliau berkata, antara perancangan yang pernah diberikan perhatian ialah pembangunan Melaka Gateway, jaringan pengangkutan kereta api serta usaha menjadikan Melaka sebagai pusat pertumbuhan ekonomi dan pelancongan yang lebih besar.
Mengimbas sejarah pengangkutan negeri itu, Ahmad Shabery berkata, Melaka pernah mempunyai laluan kereta api yang menghubungkan Tampin ke bandar Melaka sekitar 1904 hingga 1905, sebelum perkhidmatannya terhenti ketika Perang Dunia Kedua.
Katanya, sejarah berkenaan menunjukkan kepentingan jaringan pengangkutan kepada pembangunan Melaka sejak sekian lama.
Malah, katanya, perancangan moden turut meletakkan Melaka dalam cadangan pembangunan rangkaian kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura sebagai antara hab pengangkutan yang strategik.
“Melaka sebenarnya mempunyai sejarah dan potensi besar dalam pembangunan pengangkutan. Kita pernah mempunyai laluan kereta api lebih 100 tahun dahulu dan kemudian muncul pula perancangan untuk menghubungkan Melaka dengan jaringan pengangkutan moden.
“Ini menunjukkan bahawa pemimpin terdahulu telah memikirkan bagaimana Melaka boleh terus berkembang melalui pembangunan infrastruktur,” katanya.
Beliau turut menyentuh pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menurutnya memperlihatkan kepentingan mengekalkan projek strategik negara walaupun berlaku perubahan pentadbiran.
Katanya, projek tersebut melalui proses rundingan semula dan perubahan jajaran sebelum diteruskan, sekali gus menunjukkan bahawa projek pembangunan besar masih boleh diperbaiki tanpa perlu mengetepikan keseluruhan perancangannya.
“Projek seperti ECRL bukan sekadar membina landasan kereta api. Ia sebahagian daripada perancangan ekonomi negara, termasuk bagaimana kargo boleh dipindahkan dengan lebih pantas, bagaimana pelabuhan boleh dimanfaatkan dan bagaimana kawasan sepanjang laluan itu boleh berkembang.
“Yang penting ialah memastikan sesuatu projek itu memberikan manfaat kepada negara dan rakyat, bukan soal siapa yang mendapat nama apabila projek itu siap,” katanya.
Ahmad Shabery berkata, Melaka juga pernah mempunyai aspirasi untuk muncul sebagai pusat pertumbuhan ekonomi bertaraf antarabangsa, dengan mengambil inspirasi daripada pembangunan pesat bandar seperti Dubai.
Menurutnya, visi besar sedemikian memerlukan keberanian untuk merancang, kesungguhan melaksanakan dasar serta kerjasama berterusan antara kerajaan dan sektor swasta.
“Kalau kita mahu Melaka menjadi sebuah negeri yang hebat, kita perlu mempunyai perancangan yang jauh ke hadapan. Pembangunan bukan sesuatu yang boleh dimulakan dan dihentikan mengikut perubahan politik.
“Apa yang penting ialah setiap perancangan yang baik dapat diteruskan, disempurnakan dan akhirnya memberikan peluang pekerjaan, menarik pelaburan serta meningkatkan ekonomi rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online
