Lagi Laporan Polis Dibuat, Desak Siasat Pelaksanaan Pengampunan Najib
PETALING JAYA, 8 Nov – UMNO Bahagian Petaling Jaya hari ini membuat laporan polis bagi menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh berhubung pelaksanaan keputusan pengampunan diraja membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, khususnya berkaitan isu tahanan di rumah.
Laporan polis yang dibuat di Balai Polis Petaling Jaya itu diketuai Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Abdul Mutalif Rahim, dengan turut disertai wakil daripada PAS serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Abdul Mutalif berkata, laporan berkenaan bertujuan meminta pihak berkuasa meneliti secara menyeluruh segala tindakan dan keputusan pihak berkaitan dalam melaksanakan keputusan Lembaga Pengampunan.
“Kita mahu perkara ini disiasat secara menyeluruh dan telus. Terdapat beberapa persoalan yang perlu diperjelaskan, khususnya mengenai kandungan sebenar keputusan pengampunan, syarat-syarat yang ditetapkan serta bagaimana keputusan tersebut dilaksanakan,” katanya.
Menurut beliau, antara perkara yang memerlukan penelitian ialah dakwaan berkaitan pelaksanaan tahanan di rumah, termasuk kedudukan pembayaran denda RM50 juta serta peranan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam menentukan pelaksanaan keputusan berkenaan.
Katanya, laporan polis itu turut meminta siasatan terhadap kesahihan dan tafsiran dokumen asal keputusan pengampunan, pihak yang bertanggungjawab memberikan arahan atau nasihat serta asas perundangan sekiranya berlaku kelewatan atau kegagalan dalam pelaksanaannya.
“Kita mahu tahu siapa yang bertanggungjawab dalam proses membuat keputusan, apakah asas undang-undang yang digunakan dan sama ada semua syarat yang ditetapkan telah dipatuhi. Perkara ini perlu dijelaskan berdasarkan dokumen dan fakta, bukannya andaian,” katanya.
Laporan berkenaan turut membangkitkan persoalan mengenai kedudukan prosiding serta keputusan dalam kes SRC International berbanding kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), termasuk sama ada perkara tersebut mempunyai implikasi terhadap pelaksanaan keputusan pengampunan.
Selain itu, pengadu turut memohon PDRM mendapatkan dokumen berkaitan, mengenal pasti pihak yang terlibat serta menyiasat kemungkinan wujud unsur salah guna kuasa, kecuaian atau pelanggaran undang-undang sekiranya terdapat bukti yang menyokong dakwaan berkenaan.

“Ini bukan soal mendahului siasatan atau menuduh mana-mana individu. Kita hanya mahu semua pihak yang terlibat menjalankan tanggungjawab masing-masing mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata, prinsip akauntabiliti institusi, ketelusan pentadbiran dan kedaulatan undang-undang perlu menjadi asas dalam menangani isu berkenaan.
Sehubungan itu, pihaknya berharap PDRM memberikan perhatian sewajarnya terhadap laporan tersebut dan menjalankan siasatan secara objektif bagi memastikan segala persoalan yang dibangkitkan mendapat penjelasan sewajarnya.
“Apa yang penting ialah keyakinan rakyat terhadap institusi negara dan sistem keadilan mesti terus dipelihara. Setiap keputusan dan tindakan pihak berkuasa perlu berlandaskan undang-undang serta boleh dipertanggungjawabkan,” katanya. – UMNO Online
