AG Bertindak Unilateral, Mana Asas Undang-Undang? – Hasnal Rezua

MASJID TANAH, 8 Nov – Peguam dan bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Datuk Hasnal Rezua Merican mempersoalkan asas perundangan serta bidang kuasa Peguam Negara untuk mengarahkan penangguhan pelaksanaan perintah membabitkan pemindahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak daripada Penjara Kajang ke tahanan rumah.

Beliau mempersoalkan tindakan Peguam Negara yang didakwa mengambil keputusan secara “unilateral” tanpa mendapatkan sebarang perintah mahkamah atau penjelasan rasmi daripada pihak pendaftar mahkamah berhubung dakwaan kekeliruan dalam pelaksanaan perintah berkenaan.

Tegasnya, kedua-dua Perintah Pengampunan dan perintah Mahkamah Tinggi membawa maksud yang sama, iaitu membolehkan Najib Razak dipindahkan daripada Penjara Kajang ke kediamannya untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah selepas pembayaran denda RM50 juta dibuat.

“Jadi, kalau kedua-dua perintah ini membawa maksud yang sama dan menyatakan beliau mesti dipindahkan ke rumahnya di Langgak Duta selepas RM50 juta dibayar, dari mana datangnya kuasa Peguam Negara untuk bertindak secara “unilateral”.

“Atas peruntukan undang-undang mana beliau mempunyai kuasa untuk menangguhkan pelaksanaan perintah ini? Mengapa tidak mendapatkan perintah mahkamah atau sekurang-kurangnya penjelasan daripada pendaftar mahkamah sekiranya benar wujud kekeliruan,” katanya kepada UMNO Online, malam tadi.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Selayang berkata, sebaik sahaja syarat pembayaran denda RM50 juta dipenuhi, pelaksanaan perintah berkenaan sepatutnya diteruskan terlebih dahulu, bukannya Najib terus dikekalkan di Penjara Kajang atas alasan memerlukan penjelasan lanjut.

“Penahanan di Penjara Kajang itu sepatutnya berakhir selepas pembayaran RM50 juta dibuat. Jika ada perkara yang tidak jelas dan perlu diperhalusi, pindahkan beliau terlebih dahulu ke rumah.

“Sekiranya selepas penelitian didapati terdapat perkara yang memerlukan beliau dihantar semula ke penjara, maka tindakan itu perlu dibuat melalui proses undang-undang yang sewajarnya.

“Tetapi Peguam Negara tidak boleh sewenang-wenangnya mengumumkan pelaksanaan perintah ditangguhkan tanpa sebarang perintah mahkamah dan tanpa menyatakan asas undang-undang yang memberikan kuasa untuk berbuat demikian,” katanya lagi.

Menurut Hasnal Rezua, Peguam Negara juga tidak boleh menjadikan keperluan mendapatkan penjelasan sebagai alasan untuk terus mengekalkan Najib di penjara sedangkan persoalan utama yang perlu dijawab ialah bidang kuasa untuk menggantung pelaksanaan perintah berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata keseluruhan episod itu menimbulkan persoalan serius terhadap tindakan Peguam Negara, malah mengundang kebimbangan mengenai kemungkinan wujud pihak tertentu yang mempengaruhi keputusan berkenaan.

“Keseluruhan episod ini telah mendedahkan tindak-tanduk Peguam Negara yang menimbulkan keraguan. Kita bimbang mungkin ada dalang-dalang di sebaliknya yang menjadi perencana kepada tindakan yang dilakukan.

“Saya berharap perkara itu bukanlah kesnya. Namun, terpulang kepada Peguam Negara untuk membuktikan bahawa beliau bertindak secara tulus, telus dan luhur berlandaskan undang-undang, bukannya membuat keputusan tanpa asas kuasa yang jelas,” ujarnya.

Terdahulu, denda berkenaan telah dibayar menerusi cek jurubank (banker’s cheque) di kaunter pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 November 2026.

Susulan pembayaran itu, Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah “order for release” yang mengarahkan Ketua Pengarah Penjara membebaskan Datuk Seri Najib Tun Razak daripada tahanan di Penjara Kajang.

Bagaimanapun, Peguam Negara menerusi kenyataan media mendakwa terdapat kekeliruan dalam tafsiran frasa pertama perintah pengampunan serta perintah susulan yang dikeluarkan.

Atas alasan itu, beliau mengarahkan pelaksanaan perintah berkenaan ditangguhkan sementara menunggu penjelasan lanjut, sekali gus menyebabkan Najib Razak terus kekal di Penjara Kajang.

Keadaan ini menimbulkan persoalan yang serius apabila perintah mahkamah yang dikeluarkan selepas pembayaran tersebut ditangguhkan atas alasan kekeliruan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO