Peguam Negara Digesa Berundur, Ambil Kebertanggungjawaban – Azleen

JOHOR BAHRU, 8 Nov – Pemuda UMNO Johor menjunjung setinggi-tinggi kasih atas kenyataan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, yang teguh dan berpendirian terhadap keputusan Lembaga Pengampunan pada 18 September 2026 berkenaan pengurangan hukuman ke atas Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata, kenyataan Istana Negara pada 7 November 2026 membuktikan bahawa Kebawah Duli Tuanku telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab Baginda mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang cacat mahupun cela.

“Pemuda UMNO Johor menzahirkan rasa kecewa dan sangat tidak berpuas hati terhadap cara Peguam Negara menguruskan pelaksanaan keputusan Lembaga Pengampunan tersebut.

“Pengendalian perkara ini jelas tidak cermat serta memberi gambaran seolah-olah wujud niat untuk mengetepikan keputusan Lembaga Pengampunan.

“Ketidakcermatan ini terbukti apabila Istana Negara dan Pejabat Perdana Menteri terpaksa mengeluarkan kenyataan masing-masing pada 7 November 2026 untuk menjelaskan kedudukan sebenar,” katanya menerusi kenyataan.

Sehubungan itu, kata Azleen, Pemuda UMNO Johor menggesa Peguam Negara memikul tanggungjawab atas ketidakcermatan dan kelalaian dalam pelaksanaan keputusan ini dengan segera berundur secara terhormat.

“Tambahan pula, laporan polis telah dibuat terhadap Peguam Negara. Bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus dan berintegriti, adalah lebih wajar Peguam Negara berundur daripada jawatannya,” tegasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO