Manifesto BN: Pembangunan Anak Muda Perlu Direalisasikan – Abdul Hakim
LENDU, 8 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid menegaskan bahawa tawaran pembangunan dan peluang kepada golongan muda di Melaka perlu dilihat sebagai satu amanah serta tanggungjawab yang wajib dilaksanakan sekiranya BN diberikan mandat untuk terus menerajui pentadbiran negeri.
Menurutnya, pelbagai tawaran yang diketengahkan kepada anak muda merangkumi pelbagai peringkat merupakan perkara penting untuk dinilai, namun ia tidak seharusnya sekadar menjadi janji di atas kertas tanpa pelaksanaan yang nyata.
“Anak-anak muda yang ada di negeri Melaka ini daripada pelbagai peringkat mempunyai tawaran yang cukup baik untuk dilihat dan dinilai. Namun, semua itu hanya dapat ditunaikan sekiranya BN diberikan mandat sekali lagi.
“Kita tidak boleh melihat perkara ini di atas kertas sahaja kerana ia merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh BN,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Melaka turut melahirkan rasa syukur atas sokongan serta bimbingan diberikan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
“Saya merasa syukur dengan bekas ADUN Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang banyak memberi tunjuk ajar, pandangan dan nasihat . Ianya cukup berguna untuk rakan-rakan jentera-jentera BN,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Abdul Hakim menyambut baik persefahaman yang telah dibentuk antara kedua-dua parti kerana ia membuka ruang kepada penyelarasan gerak kerja serta sokongan bersama.
“Apabila terbentuknya persefahaman ini, kita menyambut baik kehadiran rakan strategik daripada PN yang turut membantu BN.
“Kedua-dua parti ini perlu terus bergerak bersama kerana persefahaman tersebut memberikan satu impak positif dalam memperkukuh kerjasama sepanjang menghadapi PRN Melaka,” ujarnya. – UMNO Online
