Manifesto Muafakat Melaka Tawaran Terbaik, Teruskan Agenda Pembangunan

ALOR GAJAH, 7 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin menyeru rakyat Melaka memberikan mandat kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi membolehkan agenda pembangunan negeri diteruskan menerusi pelaksanaan manifesto Muafakat Melaka.

Beliau berkata, manifesto yang diumumkan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) itu merupakan tawaran komprehensif yang mengambil kira keperluan serta kebajikan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Menurutnya, beliau menyambut baik penekanan terhadap usaha memperkasakan program Melaka Rumahku, khususnya dalam menyediakan kediaman baharu dan melaksanakan kerja-kerja baik pulih rumah bagi golongan yang memerlukan.

“Ini merupakan satu tawaran yang sangat baik, terutama apabila kita memperkasakan lagi program Melaka Rumahku. Kita akan terus membina rumah baharu untuk mereka yang memerlukan serta membantu membaik pulih rumah bagi golongan yang memerlukan.

“Kita mahu memastikan kebajikan semua lapisan masyarakat terus dijaga, termasuk menerusi pelbagai inisiatif yang menyentuh keperluan rakyat seperti bantuan berkaitan ibadah haji dan perkahwinan,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pelancaran manifesto Muafakat Melaka yang disifatkannya sebagai bukti komitmen BN dan rakan gabungan untuk meneruskan kesinambungan pembangunan serta membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat.

Rais berkata, manifesto berkenaan bukan sekadar satu tawaran pilihan raya, sebaliknya mencerminkan iltizam kepimpinan negeri untuk terus mendengar suara hati rakyat dan melaksanakan agenda pembangunan berdasarkan keperluan semasa.

Sehubungan itu, beliau mengajak pengundi di kesemua 28 DUN Melaka memberikan peluang kepada Datuk Seri Ab Rauf dan calon-calon BN untuk meneruskan usaha pembangunan yang telah dilaksanakan sepanjang lebih tiga tahun pentadbiran negeri.

“Selama lebih tiga tahun beliau mentadbir negeri Melaka, inilah hasil daripada ilham dan usaha yang telah dirancang dengan melihat apa yang rakyat Melaka perlukan.

“Mungkin masih banyak perkara yang boleh kita lakukan. Insya-Allah, sekiranya ruang dan peluang diberikan oleh pengundi serta rakyat Melaka, sudah tentu kita akan berusaha melakukan yang lebih baik lagi,” katanya.

Tambah beliau, penyatuan dan muafakat antara BN serta rakan gabungan juga perlu diperkukuhkan bagi memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan secara konsisten demi kepentingan negeri dan rakyat.

Dalam pada itu, Rais turut menyeru pengundi DUN Sungai Udang memberikan sokongan kepada beliau sebagai calon BN nombor tiga pada Pilihan Raya Negeri Melaka tersebut.

Beliau berharap kepercayaan rakyat dapat diterjemahkan menerusi undi pada hari pengundian 14 Nov nanti bagi membolehkan segala perancangan dan tawaran dalam manifesto Muafakat Melaka direalisasikan demi masa depan negeri. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO