Ahmad Zahid Perkukuh Hubungan Strategik Malaysia-Türkiye
KUALA LUMPUR, 7 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Türkiye, Recep Tayyip Erdoğan, sempena lawatan kerja beliau ke negara itu.
Kunjungan berkenaan berlangsung sejurus selepas Ahmad Zahid menghadiri Majlis Perasmian TRT World Forum 2026 di Istanbul Congress Centre, semalam.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menerusi hantaran di laman Facebooknya, pertemuan itu membuka ruang untuk kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-Türkiye.
“Pertemuan yang cukup bermakna ini membuka ruang untuk kami bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-Türkiye, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, industri pertahanan, pemindahan teknologi, TVET, pembangunan industri halal serta pengurusan bencana yang mempunyai potensi besar untuk dimanfaatkan bersama,” katanya.
Selain itu, kedua-dua pihak turut menyentuh perkembangan geopolitik semasa, khususnya isu Palestin dan keamanan serantau.
Perbincangan turut merangkumi kepentingan memperkukuh hubungan ASEAN-Türkiye serta memperluas kerjasama diplomatik dalam mendepani cabaran global yang semakin kompleks.
Ahmad Zahid berkata, hubungan diplomatik yang kukuh perlu dibina atas keakraban antara pemimpin dan diterjemahkan melalui kerjasama yang membawa manfaat kepada rakyat.
Beliau berharap persahabatan Malaysia-Türkiye terus diperkukuh demi kemakmuran bersama, selain memperteguh suara kedua-dua negara dalam memperjuangkan keamanan dan keadilan di pentas dunia. – UMNO Online
