Agong Telah Bertitah, UMNO Amat Menjunjung Kasih

KUALA LUMPUR, 7 Nov – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa UMNO amat menjunjung kasih atas titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung perkembangan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah bertitah! UMNO amat menjunjung kasih pada Tuanku,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung pelaksanaan hukuman tahanan rumah terhadap Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak adalah jelas dan tidak sepatutnya menimbulkan kekeliruan atau ketidakpastian berpanjangan.

Menurut kenyataan Istana Negara hari ini, pada 18 September 2026, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah meneliti petisyen Datuk Seri Najib di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan dan Peguam Negara yang telah memberikan nasihat sewajarnya kepada Yang di-Pertuan Agong.

Susulan itu, Seri Paduka Baginda telah memerintahkan supaya Datuk Seri Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah, tertakluk kepada syarat pembayaran denda RM50 juta.

Kenyataan itu menegaskan bahawa perintah pengampunan bersyarat berkenaan adalah jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti serta tidak berkaitan dengan mana-mana kes lain terhadap beliau.

Sehubungan itu, tidak sepatutnya timbul kekeliruan tafsiran sehingga menyebabkan ketidakpastian berpanjangan terhadap pelaksanaan keputusan yang telah diperkenankan.

Menurut kenyataan itu lagi, kuasa pengampunan merupakan prerogatif Diraja yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Pelaksanaan kuasa berkenaan hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.

Memandangkan semua syarat di dalam perintah pengampunan bersyarat itu telah dipenuhi, sebarang hujah yang mempertikaikan perintah tersebut adalah menjurus ke arah mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO