PRN Melaka: Ziarah Mesra Strategi Perluas Jaringan Sokongan

HANG TUAH JAYA, 7 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan mencadangkan supaya pendekatan ziarah mesra yang memfokuskan kepada individu berpengaruh diperhebat sebagai salah satu kaedah mendekati masyarakat di peringkat akar umbi.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, pendekatan itu perlu dilaksanakan oleh jentera dengan memberi tumpuan kepada individu berpengaruh dalam komuniti seperti imam, ketua NGO, ketua belia, pemimpin persatuan dan ketua kampung.

“Saya ingin mengesyorkan supaya ziarah diperhebatkan oleh jentera… kerana selain daripada itu saya ingin mengesyorkan supaya dibuat ziarah mesra.

“Ziarah mesra ini adalah untuk orang-orang berpengaruh, atau dalam bahasa biasa kita panggil OBP. Mereka tidak sakit, tapi kita menziarahi dan memohon bantuan undi daripada mereka.

“Ini satu kaedah baru menziarah orang banyak pengaruh ni bukan sekadar meraka tetapi ada rangkaian yang besar. Ini adalah kaedah kempen yang saya ingin syor, yang saya kerap lakukan di banyak tempat ketika pilihan raya negeri,” katanya.

Ahmad berkata demikian ketika ditemui UMNO Online usai melakukan ziarah mesra ke kediaman Datuk Haji Harun Mohd Dom, mantan Naib Pengerusi Majlis Datuk-datuk Negeri Melaka di Rumpun Bahagia. Turut hadir calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Siti Aisyah Mahmood dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Dalam pada itu, beliau menyeru jentera parti agar terus memperhebat gerak kerja di lapangan dan tidak terlalu selesa dengan perkembangan sokongan semasa.

Katanya lagi, gerak kerja berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan usaha mendekati masyarakat tidak terhenti sepanjang tempoh berkempen.

“Jangan kita terlalu yakin kerana mereka mempunyai Perdana Menteri dan pelbagai kelebihan lain.

“Oleh itu, kita perlu terus bergerak, memperhebat pendekatan ziarah mesra terhadap individu berpengaruh serta melaksanakan pelbagai kaedah kempen yang lain,” ujar beliau.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala hari pengundian awal pada 10 November.

DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO