Penangguhan Selepas Perintah Mahkamah Dikeluarkan Perlu Dijelaskan

KUALA LUMPUR, 6 Nov – UMNO memandang serius persoalan ketidakselarasan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, khususnya selepas Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah berkaitan tahanan di rumah.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan media Tetuan Shafee & Co. bertarikh 6 November 2026 yang membangkitkan persoalan mengenai pendirian terkini AGC berhubung pelaksanaan perintah berkenaan.


Menurut beliau, bayaran denda RM50 juta telah direkodkan, Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan perintah dan kediaman Datuk Seri Najib turut diwartakan sebagai penjara di bawah Akta Penjara 1995.

“Selepas perintah mahkamah dikeluarkan, Jabatan Peguam Negara menyatakan bahawa pelaksanaan tahanan di rumah wajar ditangguhkan sementara bagi mendapatkan kepastian undang-undang.

“Pembayaran denda merupakan salah satu syarat bagi pelaksanaan tahanan di rumah. Oleh itu, wajar dijelaskan mengapa isu tafsiran tersebut hanya dibangkitkan secara terbuka selepas bayaran direkodkan dan perintah mahkamah dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata, Peguam Negara mempunyai peranan dalam proses Lembaga Pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, katanya, penjelasan sewajarnya perlu diberikan mengenai bila persoalan tafsiran berkenaan dikenal pasti dan bagaimana ia ditangani, tertakluk kepada kehendak undang-undang serta kerahsiaan yang terpakai.

“UMNO menghormati kedudukan Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang utama Kerajaan. Namun, Jabatan Peguam Negara perlu menjelaskan dengan segera asas undang-undang bagi penangguhan pelaksanaan tahanan di rumah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan UMNO menjunjung kuasa pengampunan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, titah pengampunan bersyarat dan perintah Mahkamah Tinggi hendaklah dihormati serta diberi kesan menurut undang-undang. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO