Laksanakan Titah Pengampunan, Perintah Mahkamah Tanpa Lengah

JOHOR BAHRU, 7 Nov – Jabatan Peguam Negara (AGC) digesa melaksanakan titah pengampunan dan perintah mahkamah berhubung pelaksanaan tahanan rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tanpa sebarang kelengahan lanjut.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Johor Bahru, Ahmad Solehin Abd Ghani berkata, perkara berkenaan perlu diselesaikan segera memandangkan Perintah Pengampunan Bersyarat telah dikeluarkan pada 18 September 2026.

Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan tahanan rumah Najib wajar ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung beberapa persoalan perundangan.

Menurutnya, persoalan mengenai kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman kes SRC serta tarikh bermulanya hukuman bagi kes 1MDB sepatutnya telah diteliti sejak perintah pengampunan diberikan.

“Sejak tarikh itu, AGC sepatutnya sudah meneliti kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman kes SRC dan tarikh bermulanya hukuman kes 1MDB.

“Kedua-dua persoalan ini boleh diteliti sebaik sahaja perintah pengampunan diberikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Solehin turut mempersoalkan mengapa isu tafsiran berkenaan hanya dibangkitkan kepada umum selepas pembayaran RM50 juta direkodkan dan Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah pelepasan.

Katanya, sekiranya penjelasan lanjut diperlukan, AGC sepatutnya mendapatkan perkara itu lebih awal dan bukan ketika proses pelaksanaan sudah berada pada peringkat berkenaan.

Beliau berpandangan kelewatan tersebut menimbulkan persoalan mengenai proses pelaksanaan titah pengampunan, selain menggesa AGC memberikan penjelasan terbuka berhubung tindakan yang telah diambil.

Sehubungan itu, beliau meminta AGC menjelaskan bila penelitian berkenaan dimulakan, apakah langkah yang telah dilaksanakan dan bila penjelasan muktamad dapat diperoleh.

“Jika penjelasan mahkamah diperlukan, dapatkannya segera. Setiap hari penangguhan bermakna Datuk Seri Najib terus berada di tempat tahanan sedia ada.

“Laksanakan titah pengampunan dan perintah mahkamah tanpa kelengahan lanjut,” tegasnya.

Semalam Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan berkata parti itu telah menyelesaikan segala proses pembayaran kepada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada sebelah pagi.

Namun demikian, Jabatan Peguam Negara (AGC) menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong XVII, Sultan Ibrahim pada 18 September 2026.– UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO