Norazril Teruskan Kempen, Perkasa Agenda Keluarga Rembia
ALOR GAJAH, 6 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Ahmad Norazril Abdul Aziz memaklumkan kempen terus berjalan lancar dengan penerimaan positif daripada masyarakat tempatan.
Beliau yang juga Setiausaha Bahagian UMNO Gajah berkata setakat ini tiada isu kritikal yang dibangkitkan sepanjang kempen, sebaliknya kebanyakan maklum balas berkisar mengenai keperluan penambahbaikan infrastruktur setempat.
“Setakat hari ini, kita dalam kempen berjalan dengan baik dan positif penerimaan dalam kalangan pengundi dan juga penyokong, khususnya BN.
“Tiada isu yang kritikal dan isu yang besar. hanya melibatkan infrastruktur. Seperti biasa setiap pembangunan, terutama DUN Rembia kawasan bandar, adalah sikit-sikit berkaitan dengan pembangunan yang perlu diperbaiki.
“Seperti biasa longkang, jalan ada rosak, ada perlu diperbaiki,” katanya.
Dalam pada itu beliau turut sama memaklumkan kerjasama antara jentera BN dan PAS turut berjalan baik, termasuk ketika aktiviti turun padang dan mendekati masyarakat setempat.
“Jentera-jentera PAS dan parti, kita kolaborasi dan ketika saya walkabout, ada petugas PAS turut hadir bersama-sama kami,” ujar beliau.
Sementara itu, Ahmad Norazril turut memaklumkan manifesto yang bertemakan Keluarga Rembia, Semarak Rembia Keluarga Kita dirangka dengan memberi penekanan kepada lima teras utama.
“Manifesto ini memberi tumpuan kepada lima teras utama termasuk kebajikan, sosial, keselamatan, kerohanian dan pembangunan infrastruktur,” katanya.
Untuk rekod penyandang, Datuk Muhammad Jailani Khamis yang bertanding atas tiket BN pada PRN 2021 memenangi kerusi tersebut selepas meraih 4,224 undi dengan majoriti 860 undi dalam pertembungan lima penjuru.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala hari pengundian awal pada 10 November.
DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. – UMNO Online
