Tangguh Pelaksanaan Titah Agong Satu Bentuk Penderhakaan, Pencabulan Hak Perlembagaan
KUALA LUMPUR, 6 Nov – Sebarang usaha untuk menangguhkan pelaksanaan Titah Yang di-Pertuan Agong dan keputusan Lembaga Pengampunan disifatkan sebagai satu bentuk penderhakaan serta pencabulan hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, semua pihak sewajarnya menghormati titah serta kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong yang termaktub di bawah Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong melalui Lembaga Pengampunan telah membuat keputusan dan menitahkan syarat-syarat berkaitan yang perlu dipenuhi.
“Segala usaha untuk menangguhkan pelaksanaan Titah Yang di-Pertuan Agong dan Keputusan Lembaga Pengampunan adalah satu bentuk penderhakaan dan pencabulan hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan keperluan untuk terus menangguhkan pelaksanaan tahanan dalam rumah sedangkan pembayaran denda telah disempurnakan sepenuhnya.
“Apa keperluan untuk menangguhkan lagi pelaksanaan tahanan dalam rumah setelah pembayaran denda telah sempurna dilunaskan?” soalnya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong serta tidak mengambil tindakan yang boleh menjejaskan pelaksanaan keputusan Lembaga Pengampunan.
Tegasnya, titah dan keputusan yang dibuat melalui saluran perlembagaan sewajarnya dihormati, bukannya ditangguhkan sehingga menimbulkan persoalan terhadap pematuhan hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Jabatan Peguam Negara (AGC) menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong XVII, Sultan Ibrahim pada 18 September 2026.– UMNO Online
