‘Manifesto BN-PN Lambang Kesepakatan Demi Rakyat Melaka’
HANG TUAH JAYA, 6 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyifatkan manifesto yang dirangka bersama Perikatan Nasional (PN) sebagai manifestasi kesepakatan kedua-dua gabungan demi kepentingan rakya di negeri itu.
Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, ia dibentuk menerusi pertukaran pandangan bagi mencapai rumusan yang mengambil kira keperluan dan kepentingan masyarakat.
“Saya berpuas hati dengan kebersamaan bersama rakan-rakan strategik politik yang ditunjukkan di Melaka pada hari ini.
“Kebersamaan ini memperlihatkan satu kesepakatan, satu matlamat dan satu tujuan yang insya-Allah akan kita terjemahkan pada 14 November ini.
“Saya berharap kebersamaan ini akan membuahkan hasil yang baik, bukan untuk kami, tetapi demi rakyat Melaka dan seterusnya Malaysia,” katanya.
Rauf berkata demikian pada sidang media usai Majlis Pelancaran Manifesto BN-PN PRN Melaka Ke-16 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 97 peratus janji manifesto bagi tempoh 2021 hingga 2026 telah berjaya dilaksanakan berdasarkan rumusan semakan manifesto terdahulu.
Katanya, pencapaian tersebut menjadi asas penting dalam memastikan pelaksanaan tawaran baharu terus dinilai secara telus dan bertanggungjawab.
“Ini menjadi asas penting untuk kita terus menilai pelaksanaan tawaran baharu dengan lebih telus.
“Saya juga ingin menegaskan bahawa manifesto ini mempunyai satu matlamat yang jelas, iaitu memastikan pembangunan Melaka dapat diterjemahkan kepada manfaat sebenar dalam kehidupan rakyat,” ujar beliau.
Terdahulu, Abd Rauf melancarkan Manifesto buat julung kali antara BN-PN, yang menggariskan satu matlamat, enam teras dan 113 inisiatif menerusi tema ‘Membina Masa Depan Melaka, Memakmurkan Negara’.
Antara tawaran utama yang diketengahkan dalam manifesto berkenaan adalah bil air percuma bagi penggunaan di bawah 20 meter padu sebulan, pembinaan 25,000 rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun serta penyediaan perkhidmatan ambulans percuma.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala hari pengundian awal pada 10 November.
DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. – UMNO Online
