BN-PN Tawar 113 Inisiatif, 20 Komitmen Utama Kepada Rakyat Melaka

AYER KEROH, 6 Nov — Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menggariskan sebanyak 113 inisiatif menerusi manifesto bersama Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, termasuk 20 komitmen utama yang memberi tumpuan kepada keperluan harian rakyat.

Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, manifesto bertemakan Membina Masa Depan Melaka, Memakmurkan Negara itu dirangka dengan mengambil kira keperluan kira-kira 1.06 juta penduduk negeri ini.

Beliau berkata, tawaran berkenaan merangkumi enam teras utama yang menyentuh aspek perumahan, kos sara hidup, pendidikan, peluang pekerjaan, kebajikan rakyat dan pertumbuhan ekonomi.

“Manifesto bukan sekadar janji, tetapi perancangan. Persoalannya bukan hanya apakah yang mahu dilakukan dalam tempoh lima tahun, tetapi masalah apa yang mahu diselesaikan, peluang apa yang mahu diwujudkan dan apakah manfaat yang dijangka dapat dirasai oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto BN-PN PRN Melaka Ke-16 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Antara tawaran utama yang diketengahkan ialah bil air percuma bagi penggunaan di bawah 20 meter padu sebulan, sasaran penyediaan 25,000 rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun serta perkhidmatan ambulans percuma.

Selain itu, manifesto berkenaan turut menawarkan tuisyen percuma kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Menurut Ab Rauf, pendekatan manifesto itu turut merangkumi kebajikan rakyat sepanjang perjalanan kehidupan, bermula daripada kelahiran sehingga ke penghujung usia.

Antara inisiatif yang ditawarkan termasuk simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) secara sekali bayar (one-off) kepada bayi yang dilahirkan bermula 1 Januari 2027, bantuan tambang pengangkutan murid Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta bantuan sekali bayar bagi golongan B40 mengikuti program pensijilan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Manifesto itu turut menawarkan 25,000 peluang pekerjaan, selain sagu hati sekali bayar kepada pasangan yang baru mendirikan rumah tangga dengan pendapatan isi rumah di bawah RM3,500.

Beliau berkata, perhatian turut diberikan kepada warga emas menerusi kesinambungan bantuan kebajikan, selain urusan berkaitan pengakhiran hayat.

“Kebajikan rakyat tidak terhenti pada satu peringkat kehidupan, tetapi merangkumi seluruh perjalanan hidup mereka dan komitmen yang menyentuh keperluan harian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata manifesto berkenaan turut memberi perhatian kepada pembangunan ekonomi negeri menerusi pembukaan peluang pekerjaan, perkembangan perniagaan kecil dan ruang keusahawanan kepada generasi muda.

Katanya, kemajuan negeri perlu diseimbangkan antara pertumbuhan ekonomi dengan kesejahteraan rakyat, selain setiap komitmen yang ditawarkan perlu disusuli perancangan dan keupayaan pelaksanaan.

“Walau bagaimana lengkap sekalipun sebuah manifesto dirangka, akhirnya ia tetap perlu dinilai melalui keupayaan untuk dilaksanakan,” katanya.

Ab Rauf berkata, pelaksanaan setiap inisiatif memerlukan penelitian kemampuan kewangan, penyelarasan pentadbiran dan pemantauan bagi memastikan manfaatnya benar-benar dapat dirasai masyarakat.

Manifesto bersama BN-PN itu ditawarkan kepada kira-kira 687,697 pengundi di Melaka bagi PRN ke-16.

Turut hadir, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ir Wee Ka Siong; Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan;Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Wan Rosdy Wan Ismail; serta Timbalan Presiden Wawasan, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan PN Melaka, Tuan Guru Haji Zulkifli Ismail; Presiden Parti Rakyat India Malaysia, Punithan Paramsiven serta barisan kepimpinan tertinggi BN dan PN, pimpinan sayap parti dan jentera pilihan raya kedua-dua gabungan itu. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO