Manifesto Negeri Jadi Panduan, Tawaran Ayer Molek Diteliti – Ridhwan
HANG TUAH JAYA, 6 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali memaklumkan manifesto beliau akan dirangka dengan mengambil kira hala tuju peringkat negeri serta keperluan dan aspirasi masyarakat setempat.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya berkata, beberapa penambahbaikan turut diperhalusi bagi memastikan tawaran yang diketengahkan benar-benar relevan dengan kehidupan penduduk setempat.
“Hari ini ada pengumuman manifesto BN dan gabungan strategik negeri Melaka. Selepas itu, kita akan memperincikan manifesto berkenaan kepada tawaran khusus bagi setiap kawasan DUN termasuk Ayer Molek.
“Kita akan mengambil intipati manifesto utama di peringkat negeri, kemudian memperhalusi dan menambah beberapa perkara yang relevan dengan keperluan pengundi di kawasan masing-masing,” katanya.
Ridhwan berkata demikian ketika ditemui UMNO Online selepas mengadakan kempen bertemu pengundi di Pasar Malam Ayer Molek.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan pertemuan bersama wakil masyarakat juga telah diadakan bagi mengenal pasti perkara yang menjadi keperluan mereka.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan manifesto yang dibawa mempunyai asas daripada suara masyarakat.
“Saya sudah berjumpa dengan banyak wakil penduduk tempatan termasuk daripada masyarakat Melayu, Jawa, Cina dan India. Kita cuba untuk merangkumi semua.
“Saya yakin manifesto yang akan kita bawa ini bukan yang kita seorang fikirkan, tetapi apa yang dikehendaki dan penting kepada penduduk Ayer Molek,” ujar beliau.
Untuk rekod PRN 2021 menyaksikan penyandang DUN Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman memenangi kerusi berkenaan selepas meraih 6,348 undi, dengan majoriti 2,802 undi.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala hari pengundian awal pada 10 November.
DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. – UMNO Online
