Serangan Peribadi Bukti Tiada Hujah, Rakyat Bijak Menilai – Akmal

MERLIMAU, 6 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyifatkan serangan berbentuk cacian dan maki hamun oleh pihak tertentu sebagai petanda mereka semakin ketandusan hujah dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkata, tindakan sedemikian tidak akan memberi kelebihan kepada pihak yang menyerang, sebaliknya boleh menyebabkan rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap kepimpinan mereka.

“Bila tak keruan tu, dia mula attack dengan kata-kata yang kesat, caci, maki hamun. Sebenarnya saya kesianlah mereka ni sebab dah tak ada point.

“Bila dia buat caci dan maki hamun tu, sebenarnya itu membuatkan rakyat lebih benci kepada bos mereka,” katanya.

Terdahulu beliau bersama anak-anak muda setempat pada program Nyembang Anak Muda, di sini malam tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Akmal menegaskan pendekatan kempen kali ini bukan sekadar meminta undi, sebaliknya mahu mendapatkan kepercayaan rakyat berdasarkan rekod perkhidmatan yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh hampir lima tahun.

Menurutnya, rakyat perlu menilai prestasi dan hasil khidmat yang telah diberikan sebelum membuat keputusan pada hari pengundian.

“Sebab itu kali ini kita nak bawa sedikit berbeza pendekatan politik dan juga cara kempen. Biasanya orang datang minta undi, dan biasanya minta undi dia balik. Dia dapat undi, dia tinggalkan.

“Tapi kalau dia dapat kepercayaan, maka dia tahu bahawa kepercayaan itu datang dengan tanggungjawab,” katanya.

Beliau turut menegaskan rakyat tidak perlu memilihnya sekiranya tidak yakin dengan rekod perkhidmatan yang telah ditunjukkan.

“Saya percaya kalau mereka tak percaya pada saya, jangan undi saya. Tapi kalau mereka percaya dengan track record saya dan saya boleh buat dengan baik, maka sudah pastinya 14 hari bulan ini Barisan Nasional,” katanya.

Mengulas isu pendirian politik, Akmal turut membangkitkan apa yang disifatkannya sebagai sikap tidak konsisten pihak tertentu apabila tindakan UMNO dilabel sebagai pengkhianatan, sedangkan tindakan serupa oleh pihak lain tidak menerima kecaman sama.

“Inilah kita panggil talam dua muka. Bila UMNO buat, khianat. Tapi bila ada orang lain buat, tak khianat pula.

“Jadi hari ini rakyat tahulah apabila mereka ini hanya nak mengekalkan kuasa sahaja, bukan soal prinsip pun,” katanya..

Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilaporkan tidak berminat menjalinkan sebarang kerjasama politik dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Negeri ke-13 (PRN13).

Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, landskap politik Sarawak berbeza daripada peringkat Persekutuan, apabila kerjasama antara parti tidak semestinya diterjemahkan kepada pakatan pilihan raya di negeri itu. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO