UMNO Rakam Takziah Atas Pemergian Ibunda Mohamad Nizar

KUALA LUMPUR, 5 Nov – UMNO merakamkan ucapan takziah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib dan seluruh ahli keluarga atas pemergian ibundanya, Allahyarhamah Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau bersama isteri turut berdukacita menerima khabar pemergian Allahyarhamah.

Beliau yang berada di Turkiye berkata, sempat menghubungi Mohamad Nizar bagi menyampaikan sendiri salam takziah kepada beliau dan seluruh keluarga atas kehilangan insan tersayang.

“Kehilangan seorang ibu bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui. Kami mendoakan semoga Nizar dan seluruh keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang penuh dukacita ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid turut mendoakan agar Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarhamah, melimpahkan rahmat-Nya serta menempatkan roh Allahyarhamah dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh.

UMNO mendoakan agar seluruh keluarga Allahyarhamah tabah dan diberikan kekuatan dalam menghadapi kehilangan insan yang amat dikasihi itu. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO