‘Sejarah Di Rembia Tidak Akan Berulang’ – Ab Rauf
ALOR GAJAH, 5 Nov – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menegaskan sejarah politik Rembia tidak akan berulang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, menyifatkan apa yang telah berlalu tidak perlu dikenang, sebaliknya tumpuan harus diberikan kepada usaha memperkukuh gerak kerja serta mendapatkan sokongan pengundi.
“Sejarah itu tidak akan berulang… seperti yang diberitahu tadi, asal kapas jadi benang, dari benang menjadi kain, barang lepas jangan dikenang, dia pun dah masuk parti lain,” katanya.

Rauf berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan perjumpaan bersama jentera DUN di Bilik Gerakan DUN Rembia hari ini.
Untuk rekod penyandang kerusi DUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis yang bertanding atas tiket BN pada PRN Melaka 2021, kemudiannya mengambil keputusan meninggalkan UMNO sebelum menyertai Pas pada 2023.
Beliau pada PRN tersebut memenangi kerusi tersebut selepas meraih 4,224 undi dengan majoriti 860 undi dalam pertembungan lima penjuru.
Dalam perkembangan sama, Ab Rauf berkata, persiapan jentera pilihan raya perlu diteliti dan diperincikan bagi memastikan pergerakan pengundi pada hari pengundian berjalan lancar serta teratur.
Katanya, kesemua petugas perlu bersedia melaksanakan tanggungjawab masing-masing berdasarkan arahan dan penyelarasan yang ditetapkan bagi memastikan pergerakan jentera lebih tersusun.
“Saya menyarankan supaya gerak kerja pilihan raya, mesti diteliti dan perincikan dalam menggerakkan untuk mengeluarkan pengundi-pengundi putih seawal jam 12 tengah hari.
“Jadi nampak pergerakan di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) akan lebih teratur dengan arahan yang diberikan ini supaya semua petugas-petugas yang akan bertugas pada hari pelayaran bersedia untuk bergerak seawal yang boleh sebelum jam 12 tengah hari mengundi.
“Saya juga nampak daripada respon daripada pengundi dan juga pencadangan Rembia. Insya-Allah Rembia juga akan memberi satu kerusi untuk BN,” ujar beliau.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala hari pengundian awal pada 10 November.
DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. – UMNO Online
