Setelah Label TPM1 Pengkhianat, Beranikah Gelar TPM2 Pengkhianat?
HANG TUAH JAYA, 4 Nov – Tindakan pihak tertentu yang sebelum ini lantang melabel Timbalan Perdana Menteri I (TPM1), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai pengkhianat, kini wajar dipersoalkan apabila berdepan perkembangan politik terbaharu membabitkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, pihak yang begitu mudah melemparkan tuduhan pengkhianat terhadap Barisan Nasional (BN) sebelum ini sepatutnya berani menggunakan ukuran dan prinsip yang sama terhadap Timbalan Perdana Menteri II (TPM2), Datuk Seri Fadillah Yusof.
Hal tersebut ditimbulkan berikutan pendirian GPS yang akan bertanding di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak serta menolak kerjasama dengan parti seperti PKR dan Dap.

Razlan mengimbas kembali menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila BN menyatakan hasrat untuk bertanding di kesemua 56 kerusi DUN dengan matlamat mendapatkan mandat rakyat dan meneruskan pentadbiran negeri.
Katanya, hasrat tersebut merupakan hak BN sebagai sebuah parti politik yang mempunyai ideologi dan perjuangan tersendiri, bukannya satu tindakan untuk bermusuh atau mengkhianati mana-mana pihak termasuklah Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.
“Setelah mereka melabel TPM1 sebagai pengkhianat, beranikah mereka mengatakan TPM2 juga pengkhianat dengan apa yang berlaku di Sarawak?
“Jangan hanya berani menggunakan gelaran pengkhianat apabila melibatkan UMNO dan BN, tetapi memilih untuk berdiam diri apabila situasi yang hampir sama berlaku melibatkan pihak lain,” katanya.
Mengulas lanjut, Razlan menegaskan bahawa BN tidak pernah mengkhianati mana-mana pihak, termasuk ketika bersama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan demi memastikan kestabilan politik dan kepentingan rakyat.
“Ketika menjelang PRN Johor, kita mahu birukan Johor dan bertanding di semua 56 kerusi DUN. Tujuan kita adalah untuk mencari sokongan rakyat, bukannya mahu bermusuh dengan sesiapa. BN mahu meneruskan pentadbiran.
“Tetapi kita dilabel pengkhianat di sana sini, malah isu itu dibawa sehingga ke dalam konvensyen mereka, sedangkan kita merupakan parti yang berbeza dan mempunyai ideologi perjuangan tersendiri,” katanya.
Menurutnya, BN juga sentiasa mengamalkan sikap sederhana dalam meraikan kejayaan politik tanpa menjadikan perbezaan pendirian sebagai alasan untuk menyerang atau memperlekehkan parti lain.
Razlan turut mempersoalkan pendirian politik pihak yang sebelum ini sanggup menjalinkan perjanjian persefahaman atau Confidence and Supply Agreement (CSA) dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), tetapi kini seolah-olah mengetepikan prinsip perjuangan apabila berdepan percaturan politik semasa.
“Dahulu mereka sanggup membuat CSA dengan Bersatu. Hari ini, di manakah prinsip perjuangan mereka sedangkan kedudukan dan sokongan terhadap parti itu sendiri juga sedang dipersoalkan?
“PH juga perlu menjelaskan kepada rakyat sama ada prinsip perjuangan mereka masih menjadi keutamaan atau boleh digadaikan apabila berhadapan peluang untuk mendapatkan kuasa,” katanya.
Beliau menegaskan, politik seharusnya berasaskan kematangan, kejujuran dan penghormatan terhadap perbezaan pendirian, bukannya menggunakan label pengkhianat secara terpilih demi kepentingan politik.
Katanya, jika BN boleh dipersoalkan dan dilabel sedemikian hanya kerana mahu bertanding serta mendapatkan mandat rakyat, maka pihak lain juga perlu bersedia menerima penilaian yang sama berdasarkan tindakan dan pendirian politik masing-masing.
“Jangan jadikan prinsip sebagai senjata untuk menyerang orang lain, tetapi mengetepikannya apabila ia tidak lagi menguntungkan diri sendiri. Rakyat boleh menilai siapa yang benar-benar konsisten dalam perjuangan dan siapa yang hanya bercakap soal prinsip apabila berada di pihak yang selesa,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam siri podcast Kita Geng Biru bertajuk ‘Jangan Kotorkan Demokrasi’ anjuran Penerangan UMNO Malaysia menerusi platform Facebook UMNO Online, malam ini. – UMNO Online
