Mustafa Perkukuh Sokongan Di Durian Tunggal

ALOR GAJAH, 4 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Datuk Dr Mustafa Musa memaklumkan penerimaan positif rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) semakin meningkat memasuki hari kelima kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah berkata, ia hasil daripada kerjasama erat seluruh jentera parti yang terus komited menjalankan tanggungjawab masing-masing.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana penerimaan rakyat semakin meningkat dari hari ke hari dan setakat ini kita tidak menghadapi sebarang masalah.

“Semua pusat daerah mengundi dan bilik gerakan beroperasi seperti biasa, gerakan walkabout dari rumah ke rumah berjalan setiap hari dan proses menyantuni seramai rakyat juga berlaku pada setiap hari,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan antara isu yang disuarakan rakyat ialah kesinambungan pembangunan infrastruktur serta penyelesaian terhadap banjir yang kerap berlaku di DUN Durian Tunggal.

Katanya, kerajaan negeri sebelum ini telah melaksanakan langkah jangka pendek dan jangka panjang bagi menangani isu berkenaan.

“Saya lihat rakyat mahu pembangunan dari segi infrastruktur dan juga proses tabatan banjir diteruskan.

“Langkah jangka pendek kita telah menyelenggara saliran, longkang supaya tidak tersumbat, supaya memudahkan aliran air ketika hujan lebat untuk mengelakkan banjir kilat.

“Manakala langkah jangka panjang kita bersyukur kerajaan Pusat telah meluluskan RM600 juta untuk proses tabatan banjir di dalam DUN Durian Tunggal.

“Jikq siap beberapa tahun lagi, ia bukan sahaja menyelesaikan masalah banjir di DUN Durian Tunggal di kawasan rendah terutamanya, tetapi juga menyelesaikan masalah banjir di seluruh Alor Gajah dan sebahagian daripada Melaka,” ujar beliau.

Untuk rekod penyandang Datuk Zahari Khalil pada PRN 2021 memenangi kerusi tersebut selepas meraih 3,663 undi dengan majoriti 559, dalam pertembungan empat penjuru.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala hari pengundian awal pada 10 November.

DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO