Dari Buaian Hingga Liang Lahad, Inisiatif BN Fikir Keperluan Rakyat
MELAKA, 4 Nov – Keprihatinan pentadbiran Barisan Nasional menerajui Melaka yang diketuai, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh terhadap kehidupan rakyat merangkumi setiap peringkat, bermula sebelum mendirikan rumah tangga, memiliki kediaman, kelahiran anak, pendidikan, peluang pekerjaan menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sehinggalah ke akhir hayat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, pendekatan yang dibawa Ab Rauf itu menggambarkan perancangan pembangunan negeri yang bukan sekadar tertumpu kepada pembangunan fizikal, tetapi turut mengambil kira keperluan rakyat sepanjang kehidupan mereka.

Menurutnya, inisiatif yang diilhamkan Ab Rauf boleh disifatkan sebagai pendekatan pembangunan ‘dari buaian hingga liang lahad’ kerana setiap fasa kehidupan rakyat diberikan perhatian.
“Datuk Seri Dr Ab Rauf ini memikirkan rakyat daripada sebelum kahwin sehinggalah sudah berkahwin, daripada rumahnya sehinggalah anak yang dilahirkan, bersekolah, mencari pekerjaan melalui TVET sehinggalah mati.
“Maknanya, dari buaian hinggalah ke liang lahad. Beliau memikirkan keperluan rakyat secara menyeluruh, bukan hanya pada satu-satu peringkat kehidupan,” katanya.
Ahmad berkata, antara contoh inisiatif yang mencerminkan pendekatan tersebut ialah Kubur Digital yang disifatkan sebagai satu game changer dalam usaha memodenkan pengurusan kampung dan kehidupan masyarakat.
Malah, inisiatif berkenaan turut menerima anugerah khas antarabangsa, sekali gus memperlihatkan pengiktirafan terhadap usaha pendigitalan yang dilaksanakan di Melaka.
Katanya, rekod pentadbiran Ab Rauf yang telah melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan baik juga menjadi antara perkara yang perlu diketengahkan apabila rakyat menilai kepimpinan negeri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad turut menekankan pentingnya perpaduan ummah mengatasi perbezaan pandangan berhubung pengagihan kerusi.

“Perpaduan ummah hendaklah mengatasi segalanya. Jangan kita bertelingkah sebab agihan kerusi. Perpaduan ummah itu yang utama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam siri podcast Kita Geng Biru anjuran Penerangan UMNO Malaysia menerusi platform Facebook UMNO Online, malam tadi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi PRN Melaka pada 14 Nov manakala pengundian awal pada 10 Nov.
Berdasarkan statistik SPR, sebanyak 687,697 pemilih layak mengundi pada PRN kali ini membabitkan 675,166 pengundi biasa, 9,769 anggota tentera dan pasangan serta 2,762 anggota polis. – UMNO Online
