PRN Melaka: Rekod Kerja BN Mengatasi Janji – Hameed Basheer

AYER LIMAU, 4 Nov – Pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan dan pendekatan turun padang secara berterusan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) Melaka membuktikan komitmen pentadbiran itu dalam meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, khususnya dalam menyelesaikan permasalahan di peringkat akar umbi.

Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, keberkesanan pendekatan berkenaan dapat dilihat menerusi kejayaan menyelesaikan kira-kira 80 peratus isu infrastruktur yang dikenal pasti di kawasan itu.

Menurut beliau, pencapaian tersebut membuktikan bahawa segala perancangan dan agenda pembangunan yang dirangka kerajaan negeri bukan sekadar janji, sebaliknya diterjemahkan kepada pelaksanaan yang dapat dirasai sendiri oleh masyarakat.

“Pendekatan menerusi program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) menjadi antara mekanisme penting dalam memastikan setiap permasalahan penduduk dapat dikenal pasti dan ditangani dengan lebih berkesan.

“Kerajaan negeri meluangkan banyak masa menerusi program WRUR melalui pendekatan ini. Kita dapat menjejaki masalah rakyat sehingga ke akar umbi, bukannya hanya menunggu mereka datang ke pejabat untuk membuat aduan.

“Semua wakil rakyat dan kepimpinan masyarakat perlu turun padang. Dengan bantuan JPKK, dapat mengenal pasti pelbagai permasalahan setempat dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya kepada UMNO Online.

Tambah Hameed, walaupun sebahagian besar isu infrastruktur di Ayer Limau berjaya diselesaikan, pembangunan tidak boleh dianggap selesai sepenuhnya kerana keperluan kemudahan asas sentiasa berubah seiring pertambahan penduduk dan perkembangan kawasan.

“Pembangunan merupakan proses berterusan yang memerlukan penambahbaikan serta penambahan infrastruktur dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan rakyat,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, Hameed menjelaskan, perkembangan sokongan terhadap BN di Ayer Limau sepanjang tempoh kempen menunjukkan petanda positif, termasuk kesediaan rakan strategik daripada UMNO dan Pas untuk bersama-sama memberikan sokongan.

“Alhamdulillah… saya melihat penerimaan masyarakat di Ayer Limau terhadap BN sangat positif. Kita juga melihat rakan strategik daripada UMNO dan Pas menunjukkan keterbukaan serta kesediaan untuk bersama-sama demi kepentingan masa depan negara.

“Yang lebih penting, perlu melihat kepentingan rakyat dan masa depan negara sebagai keutamaan, bukannya terus dibelenggu prasangka atau perbezaan politik,” jelasnya.

Menyentuh kemungkinan berlakunya provokasi sepanjang baki tempoh kempen, Hameed menegaskan, tidak melihat perkara itu sebagai ancaman besar kerana sepanjang lima tahun pentadbirannya, sentiasa memupuk semangat kekeluargaan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang politik.

“Sepanjang lima tahun ini, saya sentiasa membawa pendekatan bahawa kita semua adalah satu keluarga. Tidak kira daripada parti mana atau apa latar belakang politik mereka, semuanya tetap masyarakat yang perlu jaga,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO