‘Saya Mahu Terus Bekerja Untuk Orang Asahan’
ALOR GAJAH, 4 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Datuk Dr Fairul Nizam Roslan mahu meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat setempat sekiranya diberi mandat sekali lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau yang juga penyandang dan Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah berkata, sepanjang tempoh hampir lima tahun berkhidmat, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi membantu masyarakat setempat tanpa mengira kaum.
“Beri sekali lagi peluang kepada saya sebab kebanyakan rata-rata pengundi di sini saya sudah jumpa, hampir lima tahun dan kita cuba bantu apa juga masalah mereka.
“… seperti yang saya katakan kepada pengundi, beri saya sekali lagi peluang, saya nak sambung kerja di DUN Asahan ini.
“Saya juga minta kepada pengundi supaya pengundi tidak memilih kaum, terutamanya kepada pengundi India. Kerana saya selama tempoh saya berkhidmat empat tahun 10 bulan ini, saya menyentuh semua masyarakat, Melayu, Cina, India, Asli.
“Rakyat perlu melihat pencapaian yang saya lakukan selama tempoh saya berkhidmat ini,” katanya ketika ditemui UMNO Online.
Fairul berkata demikian ketika ditemui UMNO Online selepas mengadakan pertemuan bersama santai anak muda di Desa Mesra Perdana Corner Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Sedanan pada semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata program santai bersama anak muda itu turut mendapat sambutan masyarakat pelbagai peringkat umur, sekali gus menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara generasi.
Menurutnya, pertemuan sedemikian membuka ruang kepada golongan muda untuk menimba pengalaman daripada masyarakat lebih berpengalaman.
“Kita lihat di sini suasananya agak mesra. Ada orang lama, ada orang baru… inilah hubungan yang telah kita bina sejak sekian lama untuk pastikan kesinambungan kepimpinan yang akan diwarisi oleh orang muda ini mendapat tempat di hati orang lama.
“Sebab orang lama ini kalau berjauhan dengan orang muda, kita bimbang pengalaman kepimpinan itu mereka tidak dapat,” ujar beliau.
Dr Fairul yang juga penyandang kerusi ini berhadapan saingan dua penjuru di antara calon Pakatan Harapan.
Untuk rekod, Dr Fairul yang lebih dikenali sebagai Along pada PRN lalu memenangi 5,659 undi dengan majoriti 2,993 dalam saingan enam penjuru.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala hari pengundian awal pada 10 November.
DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. – UMNO Online
