Peruntukan Sabah Perlu Ambil Kira Jurang Pembangunan – Suhaimi Nasir
KUALA LUMPUR, 3 Nov – Kerajaan Persekutuan perlu memastikan agihan peruntukan pembangunan kepada Sabah dibuat secara lebih adil dan menyeluruh dengan mengambil kira keluasan geografi, taburan penduduk, kadar kemiskinan, kos logistik serta jurang infrastruktur yang masih ketara di negeri itu.
Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berkata, peningkatan peruntukan kepada Sabah dalam Belanjawan 2027 kepada RM18.7 bilion berbanding RM17.6 bilion pada tahun sebelumnya merupakan perkembangan yang diambil maklum, namun jumlah berkenaan perlu benar-benar mencerminkan keperluan pembangunan sebenar negeri itu.

Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, beliau menegaskan bahawa Sabah masih berdepan keperluan pembangunan yang besar, khususnya melibatkan bekalan air, elektrik, jalan raya, sekolah, kemudahan kesihatan dan infrastruktur luar bandar.
“Peningkatan peruntukan Sabah perlu mengambil kira realiti di lapangan. Kita tidak boleh melihat angka semata-mata tanpa menilai keluasan geografi, taburan penduduk, kadar kemiskinan, kos logistik serta jurang infrastruktur yang masih wujud.
“Pembangunan Sabah tidak boleh bergantung kepada peruntukan tahunan semata-mata, sebaliknya memerlukan mekanisme jangka panjang bagi menjamin kesinambungan pembangunan dan merapatkan jurang wilayah,” katanya.
Suhaimi turut menegaskan bahawa peningkatan peruntukan kepada Sabah perlu bergerak seiring dengan komitmen Kerajaan Persekutuan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya dalam usaha memuktamadkan formula Pemberian Khas yang adil dan mampan.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan menjelaskan sama ada faktor-faktor berkaitan keperluan pembangunan dan jurang wilayah telah diambil kira secara menyeluruh dalam menentukan jumlah peruntukan kepada Sabah.
Dalam perkembangan berkaitan, Suhaimi turut membangkitkan kepentingan memperkukuh ketelusan perbelanjaan awam dan akauntabiliti kerajaan bagi memastikan setiap peruntukan yang diluluskan dapat dipantau serta dinilai keberkesanannya.
Merujuk kepada perkhidmatan perakaunan di bawah Kementerian Kewangan, beliau mencadangkan supaya Kementerian Kewangan melalui Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) mengadakan taklimat khas kepada Ahli-ahli Parlimen mengenai ekosistem kewangan negara serta tatacara pengurusan dan perbelanjaan kerajaan.
Menurutnya, Ahli-ahli Parlimen perlu diberikan pemahaman menyeluruh mengenai keseluruhan proses kewangan kerajaan, bermula daripada penyediaan belanjawan, kelulusan peruntukan, penyaluran dana, proses perolehan dan pembayaran sehinggalah kepada audit serta pelaporan perbelanjaan.
“Saya berpandangan setiap Ahli Parlimen perlu diberikan pemahaman yang lebih menyeluruh tentang bagaimana keseluruhan proses kewangan kerajaan berfungsi.
“Ini penting supaya kita bukan sahaja memahami jumlah peruntukan yang diumumkan, tetapi juga mengetahui bagaimana wang tersebut disalurkan, dibelanjakan dan dipertanggungjawabkan,” katanya.
Beliau turut meminta Kementerian Kewangan mempertimbangkan penyediaan jadual perbandingan bagi setiap projek kementerian yang merangkumi anggaran belanjawan, peruntukan diluluskan dan perbelanjaan sebenar.
Katanya, penyelarasan maklumat sedemikian penting bagi mengelakkan kekeliruan apabila angka yang berbeza dibentangkan dalam dokumen kewangan berlainan tanpa penjelasan yang mencukupi.
“Pembentangan angka dalam dokumen berbeza tanpa penjelasan mencukupi boleh menimbulkan kekeliruan dan salah tafsir.
“Justeru, satu kaedah pelaporan yang lebih jelas dan seragam perlu diwujudkan supaya Ahli-ahli Parlimen dapat menilai prestasi perbelanjaan kerajaan berdasarkan maklumat yang tepat dan telus,” katanya.
Suhaimi juga berharap Kementerian Kewangan memberikan perhatian serius terhadap perkara tersebut bagi memastikan pengurusan kewangan negara lebih telus, bertanggungjawab dan berkesan, selain menjamin peruntukan pembangunan benar-benar sampai kepada kawasan serta rakyat yang memerlukan. – UMNO Online
